Selepas hampir setahun diberi masa untuk membina pasukan kebangsaan, Piala Asia 2015 adalah ujian sebenar yang pertama buat Ange Postecoglou sebagai ketua jurulatih Socceroos.
Piala Dunia 2014 yang lalu memberi banyak idea kepada Postecoglou – yang dilantik pada Oktober 2013 – yang diberi mandat untuk memberi nafas baru kepada pasukan yang tampak layu di bawah Holger Osieck. Semasa Piala Dunia 2014, Postecoglou diberi kebebasan untuk membentuk pasukan kebangsaan yang muda dengan stail permainan yang menyerang tanpa perlu risau dengan keputusan perlawanan.
Kebebasan itu digunakan sebaiknya oleh Postecoglou dalam tempoh enam bulan antara Piala Dunia 2014 dan Piala Asia 2015. Beliau meminta Football Federation of Australia (FFA) untuk mengatur perlawanan persahabatan dengan Belgium (mereka kalah 0-2) dan memanggil 42 pemain dalam latihan pusat pasukan kebangsaan sebelum mengurangkannya kepada 23 pemain untuk kejohanan Piala Asia ini.
Barisan pemain
Kumpulan 23 pemain ini kebanyakkannya adalah pemain sama yang mewakili Australia semasa Piala Dunia 2014 yang lepas (kebanyakkannya pemain muda), dengan penambahan beberapa pemain dari A-League yang menyerlah pada musim ini.
Kekuatan
Secara taktikal, Postecoglou suka pemainnya bermain mengikut taktik moden – mereka akan fokus untuk mendominasi penguasaan bola dengan hantaran pendek – tetapi beliau melakukan sedikit perubahan di bahagian serangan. Jika semasa Piala Dunia 2014, pemain sayap Australia cenderung untuk memberi hantaran lintang kepada Tim Cahill – sehingga Australia dilihat seperti bermain formasi 4-5-1 – kini Postecoglou mengarahkan pemain sayapnya untuk membawa bola masuk ke kawasan tengah untuk mencipta numerical advantage di bahagian tengah.
Semasa perlawanan persahabatan menentang Jepun pada November 2014 yang lepas, pemain sayap Robbie Kruse dan James Troisi lebih bermain sebagai withdrawn striker daripada winger. Ini membolehkan Australia mendominasi bahagian tengah dan kedua-dua full-back mereka dapat naik ke atas tanpa perlu risau dengan serangan balas yang pantas dari Jepun.
Walaupun Australia kalah 1-2 dalam perlawanan ini, pembantu jurulatih, Ante Millic menjelaskan kepentingan strategi ini.
“The wide strikers are playing a little bit more inside, creating an overload in those central areas – for example against Japan where they started with a 4-1-4-1 and we created a good overload, and got players between the lines.”
Satu masalah yang timbul dengan strategi ini adalah – Australia kekurangan penetrasi semasa menyerang dan mereka masih lagi mengharapkan sentuhan penyudah Tim Cahill.
Setakat ini, Cahill adalah satu-satunya pemain yang boleh menjaringkan gol secara konsisten di bawah taktik Postecoglou. Beliau turut menjaringkan gol semasa perlawanan persahabatan menentang Jepun tempoh hari meskipun bermain hanya 18 minit.
Selain Cahill, Australia mempunyai Nathan Burns yang melalui musim A-League yang cemerlang (10 gol dari 12 perlawanan). Beliau mungkin bermain sebagai pemain sayap kanan untuk Wellington Phoenix, tetapi kebolehannya membuat larian dari sayap kanan ke bahagian tengah dan membina link-up play dengan penyerang tengah membuatkan beliau adalah alternatif yang bagus untuk The Socceroos terutamanya jika beliau boleh membawa sentuhan pemusnahnya dari kelab ke pasukan kebangsaan Australia.
Satu lagi pertukaran taktikal Postecoglou adalah perubahan dari sistem double pivot kepada single pivot. Jika dalam Piala Dunia 2014 yang lepas, Mile Jedinak berpasangan dengan Matt McKay untuk membentuk double pivot dalam formasi 4-2-3-1, dalam Piala Asia kali ini hanya Mile Jedinak yang akan ditugaskan untuk membantu pertahanan tengah Australia, dengan dua pemain midfield kreatif di hadapan Jedinak dalam formasi 4-3-3.
Pertukaran ini penting terutamanya ketika menentang pasukan yang akan bertahan di kubu mereka sendiri (seperti Kuwait dan Oman). Dua pemain midfield di hadapan Jedinak bertangguangjawab untuk membuat deep runs untuk mengkucar-kacirkan pertahanan pasukan lawan. Kebiasaannya Postecoglou akan menyerahkan tugas ini kepada Matt McKay dan Mark Milligan, dua pemain yang pernah beliau latih di Brisbane Roar dan Melbourne Victory. Tetapi pemain yang bermain di Eropah, James Troisi (Zulte Waregem) dan Massimo Luongo (Swindon Town). Pemain muda Terry Antonis dari Sydney FC juga boleh mengisi slot di midfield. Pendek kata, Australia mempunyai banyak pilihan di bahagian tengah.
Kelemahan
Bagaimana pun, bahagian pertahanan Australia masih menjadi duri dalam daging mereka. Postecoglou masih belum pasti sama ada mahu menggandingkan Alex Wilkinson (Jeonbuk Hyundai) dengan Matthew Spiranovic (Western Sydney) atau dengan Trent Sainsbury (PEC Zwolle). Alex Wilkinson dan Matthew Spiranovic adalah gandingan utama Australia ketika Piala Dunia 2014 tetapi dengan kecederaan berulang Spiranovic dan prestasi cemerlang Sainsbury ketika siri perlawanan persahabatan, Postecoglou perlu mencari gandingan terbaik jika mahu merampas trofi Piala Asia ini daripada Jepun.
Di posisi bek kiri, Jason Davidson (West Brom) tampak sudah kehilangan tempatnya kepada Aziz Behich yang selalu bermain untuk kelabnya, Bursaspor di Turkish Super League. Di bek kanan, Ivan Franjic (Torpedo Moscow) adalah nama pasti dalam kesebelasan utama selepas merampasnya daripada Ryan McGowan (Shandong Luneng Taishan). Di antara tiang gol adalah penjaga gol muda yang mendapat perhatian Real Madrid musim panas lepas, Matt Ryan – antara penjaga gol muda yang selesa bermain possession football.
Ramalan
Secara realistiknya, Australia boleh berharap untuk menjulang Piala Asia di halaman sendiri. Setelah mendapat tempoh ‘memanaskan enjin’ selama hampir setahun, anak buah Postecoglou berpotensi untuk menjadi kuasa besar bola sepak Asia. Kem latihan intensif selama 10 hari sebelum kempen Piala Asia kali ini menyediakan tempat terbaik untuk The Socceroos untuk membentuk kesefahaman antara ahli pasukan. Kegagalan melangkah ke sekurang-kurangnya final boleh dianggap kegagalan buat Australia.
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola.