Satu lagi trofi buat Arsenal selepas menjuarai Piala FA pada awal bulan lalu, kali ini FA Community Shield – menewaskan Liverpool 5-4 menerusi sepakan penalti.
Sebelum itu, 90 minit permainan berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang seawal minit ke-12 sebelum ianya disamakan semula oleh Takumi Minamino pada minit ke-73.
Hari ini kita tidak cukup baik
Liverpool tewas dalam dua perlawanan kompetitif sebelum berakhirnya musim lalu, tewas kepada finalis Piala FA, Chelsea di pusingan kelima dan kemudian kepada Atletico Madrid di pusingan 16 terbaik di Champions League.
Walaupun keputusan 90 minit boleh dianggap seri, namun tewas menerusi sepakan penalti juga adalah kegagalan lagi buat anak didik Jurgen Klopp. Dan beliau tahu apakah yang menjadi punca kepada kekalahan Liverpool malam tadi.
Menurutnya, “Kami boleh jaringkan gol lagi, tetapi kami gagal. Ketika berdepan dengan formasi sebegitu, anda perlu segar sepenuhnya di final third dan perlu tekan, cipta ruang. Kita tidak capai rentak itu. Hari ini kita tidak cukup baik.
“Dalam perlawanan sebegini, anda memerlukan sentuhan pemusnah. Kami seharusnya memiliki banyak peluang tetapi kami juga perlu lebih berhati-hati dengan Pierre-Emerick Aubameyang kerana kekuatan serangan balas mereka,” ujarnya.
Saya yang bersalah
Jurgen Klopp juga berkata yang mereka tidak dapat mencipta peluang sebagaimana yang mereka mahukan. Untuk perlawanan lain mungkin ianya sudah cukup – satu gol selepas tiga peluang, tetapi untuk perlawanan ini, ia tidak mancukupi.
Selain itu, pengendali berusia 53 tahun itu tidak menyalahkan pemain muda, Rhian Brewster yang gagal menyempurnakan sepakan penalti yang menjurus kepada kemenangan Arsenal. Beliau menyalahkan dirinya atas kesilapan pemain itu.
“Jika mahu mencari salah siapa, saya yang bersalah. Saya mahunya bermain disebabkan dia miliki sentuhan penyudah dan berkeyakinan. Tetapi, tidak pada hari ini. Itulah yang sentiasa berlaku dalam hidup dan juga bola sepak,” jelasnya.
“Saya tidak pernah melihatnya terlepas peluang, tetapi ianya berlaku,” tambahnya lagi yang telah memasukkan pemain berusia 22 tahun itu untuk menggantikan Gini Wijnaldum. Katanya, pengalaman sebegini akan mematangkan pemain itu.
Penutup
Mungkin sentuhan pemusnah gandingan Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah yang cuba ditekankan olehnya yang telah hilang dan mereka perlu segera bangkit memperbaikinya agar trio The Reds itu kembali digeruni.
Adakah Liverpool akan bangkit untuk saingan Premier League musim 2020/21 nanti? Kurang dua minggu lagi mereka akan menentang Leeds United di laman sendiri.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES