Pengendali Juventus, Andrea Pirlo memberikan bayangan untuk mempraktikkan apa yang telah dilakukan bekas pengurusnya, Antonio Conte ketika membimbing skuad The Old Lady selama tiga musim.
Selain mendapat bimbingan Conte ketika bersama skuad kebangsaan Itali, kedua-dua figura hebat dalam sejarah bola sepak Juventus itu turut pernah bekerjasama dalam kancah domestik bermula musim 2011/12 hingga 2013/14.
Mengimbau kembali suasana hebat dinikmatinya ketika berada di bawah kendalian Conte, Pirlo tekad ingin mengembalikan semangat dan beberapa falsafah yang ditampilkan skuad Juventus pada ketika itu.
”Mungkin kami boleh mencapai tahap keghairahan dan penyatuan [seperti yang dilakukan oleh Antonio Conte],” ujar Pirlo menurut laporan Goal.
”Tetapi apa yang saya mahu kembalikan ialah prinsip-prinsip itu, DNA kerja dan pengorbanan, penuh dengan keringat untuk satu sama lain dan hanya dengan cara ini anda mampu untuk mencapai sasaran diharapkan.”
”Saya mahu membawa beberapa semangat, yang mana perkara itu telah hilang dalam tempoh terakhir ini.”
”Saya ingin menerapkan bola sepak proaktif dan mendominasi permainan, seperti yang saya katakan kepada para pemain semalam.”
”Saya memberitahu mereka dua perkara, yang pertamanya anda harus sentiasa mempunyai [mengawal] bola dan kedua anda perlu cepat untuk merebut kembali bola.”
“Ini adalah dua perkara pertama tentang taktik yang saya katakan dan percaya. Itu adalah mental terpenting yang harus diterapkan ke dalam pasukan ini,” tambah Pirlo lagi.
Kredit featured image: Pressefoto Ulmer\ullstein bild via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Pirlo: