Satu tindakan pelik tetapi unik telah dilakukan oleh pengurusan Birmingham City apabila telah mengosongkan nombor jersi 22 milik pemain muda, Jude Bellingham.
Beberapa hari lalu, Bellingham telah sah akan menyarung jersi gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund untuk saingan musim hadapan dengan yuran perpindahan yang dikatakan bernilai hampir £25 juta dan kontrak jangka panjang dari kelab tersebut.
Punca nombor itu dikosongkan
Menurut pengumuman yang dibuat oleh kelab tersebut, nombor jersi 22 yang dipakai oleh Bellingham akan serta merta dikosongkan atau dalam bahasa lainnya telah ‘retired’. Untuk itu, selepas ini, tiada lagi pemakai jersi untuk nombor tersebut.
“Dalam tempoh yang sangat pendek, Jude [Bellingham] telah menjadi seorang pemain ikon untuk The Blues, mempamerkan apa yang mampu dicapai dengan bakat, kerja keras dan juga dedikasi,” ungkap kenyataan daripada Birmingham City.
“Sikapnya yang mengambil berat, rendah hati dan juga menarik di luar padang juga telah menjadikannya sebagai sumber ikutan yang amat mengagumkan. Nombor 22 sangat sinonim dengan peningkatannya ke skuad utama pada usia 16 tahun.”
Tambah kenyataan itu lagi, “Oleh yang demikian, pihak kelab dengan ini membuat keputusan yang dilihat sangat sesuai untuk mengosong nombor jersi itu, bagi mengenangkannya dan memberi inspirasi kepada pemain-pemain lain.”
Tidak pernah dibuat orang
Ianya tidak pernah berlaku dan mungkin ini juga pertama kali dalam sejarah sebuah kelab telah mengosongkan nombor jersi mereka untuk memberi penghormatan kepada pemain muda yang akan berhijrah untuk meninggalkan mereka.
Selalunya, pengosongan nombor jersi akan dilakukan jika lagenda kelab tersebut bersara atau meninggal dunia. Juga ia dilakukan atas sebab-sebab tertentu dan bukannya untuk mengenang seorang pemain yang baru berusia 17 tahun.
Melihatkan komentar penyokong-penyokong The Blues, mereka nyata terkejut dengan tindakan kelab yang menurut kalangan mereka, ia tindakan pelik dan tidak percaya ianya berlaku kerana tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab sebelum ini.
Ada antara mereka yang bertanya, adakah Bellingham sudah dianggap lagenda dan juga bagaimana akan berlaku jika pemain itu menyertai Man United tempohari.
Ianya satu penghargaan
Dalam pada itu, Bellingham dilihat meluangkan masa hampir 45 minit dengan hanya duduk di padang St Andrew Stadium selepas perlawanan pada Rabu lalu.
“Saya amat menyayangi kelab ini dan sukar untuk saya sembunyikan betapa bermakna kelab ini buat saya. Ia akan sentiasa ada tempat yang besar di hati saya kerana ini merupakan kelab saya dan ianya merupakan satu penghargaan,” jelas Bellingham.
Dalam aksi terakhirnya, Bellingham telah beraksi dalam perlawanan menentang Derby County yang menyaksikan mereka tewas 1-3 dan menamatkan musim di kedudukan ke-20, hanya dua mata dipisahkan daripada kelab-kelab di zon penyingkiran.
Prestasi memberangsangkan yang dipamernya dari peringkat belia dan kemudian bersama skuad utama sejak penampilan sulungnya pada Ogos lalu telah menarik minat kelab-kelab besar di Eropah untuk menandatanganinya musim hadapan.
Penutup
Jadi, apa pendapat anda mengenai tindakan pelik Birmingham City tersebut? Adakah wajar untuk mereka mengosongkan nombor jersi atas sebab tersebut?
Jude Bellingham akan menyertai rakan senegaranya yang juga telah dijaga dengan baik oleh Borussia Dortmund, Jadon Sancho. Kapten skuad B-17 tahun England itu mungkin antara bakat muda yang perlu diberi perhatian pada musim depan.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES