Pemain tengah berpengaruh Manchester United, Paul Pogba menegaskan bahawa The Red Devils tidak seharusnya melepaskan peluang terbaik untuk merangkul dua trofi pada musim ini.
Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu yang merupakan juara Liga Europa 2016/17 berada di landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian tersebut apabila memiliki kelebihan lima gol ketika berdepan wakil dari Austria, LASK di peringkat 16 [perlawanan pertama].
Di peringkat domestik pula, Manchester United juga bakal membuat perhitungan dengan Chelsea pada aksi separuh akhir Piala FA yang dijadualkan berlangsung 20 Julai nanti di Wembley.
Sehubungan dengan itu, Pogba menyimpan tekad untuk menambah koleksi pingat peribadi yang dimenangi bersama Manchester United.
”[Manchester] United adalah berkaitan dengan trofi. Dan terdapat piala yang kita tahu bahawa kita mampu untuk mendapatkan serta memenanginya.”
”Kami tidak boleh membiarkan peluang ini pergi dengan begitu sahaja. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan dua trofi ini dengan memberikan [beraksi] segalanya”
”Kami berasa hebat. Itulah merupakan mentaliti kami pada ketika ini,” ujar Pogba menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Anda perlu mempunyai mentaliti yang positif apabila anda memperoleh keputusan yang baik, tetapi anda juga harus mempunyai kemampuan untuk melalui permainan seperti yang kami lakukan dalam beberapa perlawanan terakhir.”
”Setiap perlawanan adalah aksi final dan kami perlu untuk memperoleh keputusan yang kami mahukan, itulah yang berada dalam pemikiran kami. Tidak pernah cukup buat kami, kami perlu untuk terus berjuang dan bersaing serta mendorong kami untuk terus menjadi lebih baik,” tambah Pogba lagi.
Selepas kembali menyertai Manchester United dari Juventus, Pogba telah memenangi pingat Liga Europa dan Piala Liga pada musim pertamanya [2016/17] di Old Trafford.
Kredit featured image: Catherine Ivill – AMA/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Paul Pogba: