Adik Serge Aurier Ditembak Mati Di Perancis

Christopher Serge Aurier Perancis

Adik lelaki kepada pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Serge Aurier telah ditembak mati di luar sebuah kelab malam di Toulouse, Perancis.

Christopher Aurier meninggal dunia di hospital selepas menerima rawatan kecemasan dengan mangsa didapati ditembak di bahagian perut di sebuah kawasan industri di pinggir bandar, menurut media Perancis.

Suspek dilaporkan telah melarikan diri dari tempat kejadian dan masih diburu oleh pihak berkuasa.

Christopher yang merupakan warganegara Ivory Coast seperti abangnya, juga seorang pemain bola sepak dan bermain untuk sebuah kelab kecil di Perancis.

Kelab Aurier, Spurs dalam satu kenyataan menyatakan rasa sedih dan simpati di atas kematian adik pemainnya itu yang dilaporkan berlaku pada waktu pagi.

“Kami memberikan sepenuh sokongan kepada Serge yang berdepan dengan tempoh sukar ini dan kami menghormati privasi pemain dan keluarganya.

“Semua orang di kelab ini menyampaikan ucapan takziah kepada Serge dan keluarganya. Ingatan kami sentiasa bersama mereka.”

Menurut laporan berita tempatan, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang melihat seorang lelaki sedang terbaring di atas jalan dengan perut yang berdarah.

Christopher dikatakan ditembak sebanyak dua kali di perutnya di luar sebuah kelab malam berdekatan Boulevard de Thibaud.

Beliau yang berusia 26 tahun beraksi untuk pasukan Rodeo Toulouse di divisyen kelima Perancis dan pernah berkelana di beberapa pasukan lain seperti Racing Club de Lens, Geugnon, Chantilly dan kelab Belgium, La Figaro.

Kredit Foto: AfricanFootball360

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Serge Aurier dan Tottenham Hotspur:

Leave a Reply