Persaingan merebut trofi Sarung Tangan Emas musim 2019/20 terus hangat dengan pendahulu sebelum ini, Nick Pope semakin hampir dipintas selepas aksi semalam.
Burnley terikat 1-1 menentang Liverpool dengan pesaing rapatnya, Alisson Becker di gawang bertentangan juga terlepas peluang untuk menyamakan rekod cleansheet apabila akhirnya membenarkan Jay Rodriguez merobek golnya pada minit ke-69.
Ederson datang di saat Pope dan Alisson bocor
Sebelum perlawanan, Nick Pope mendahului persaingan dengan 14 cleansheet di tangannya, diikuti oleh Alisson Becker, Ederson dan Dean Henderson – kesemuanya dengan 13 cleansheet. Ketika Liverpool mendahului, Alisson Becker naik takhta.
Liverpool hanya mampu bertahan lebih setengah jam hasil jaringan Andrew Robertson pada minit ke-34, sebelum Jay Rodriguez memusnahkan harapannya. Begitupun, di saat kedua-dua mereka bocor, Ederson tampil menyamakan rekod tersebut.
Penjaga gol Manchester City itu tidak melepaskan sebarang gol ketika The Citizens membelasah Brighton 5-0 di Stadium Falmer, awal pagi tadi. Tiada masalah baginya apabila lawan langsung tidak membuat sebarang percubaan tepat kepadanya.
Kini, beliau berkongsi takhta bersama Ederson dengan 14 cleansheet, diikuti rapat oleh Alisson Becker dan Dean Henderson (Sheffield United) dengan 13 cleansheet. Seterusnya diikuti pula oleh Kasper Schmeichel (12), De Gea dan Rui Patrício (11).
Liverpool vs Pope
Walaupun bolos satu gol menentang The Reds, Nick Pope telah tampil dengan aksi memberangsangkan dan mempamerkan mengapa beliau seharusnya bergelar pemain nombor 1 dalam skuad kebangsaan England. Dan, Jurgen Klopp memujinya.
Daripada 24 percubaan, sembilan daripadanya merupakan percubaan tepat dan Pope hanya membenarkan satu percubaan melewatinya. Klopp telah berkata sejurus perlawanan tamat, “Saya dapat lihat satu perlawanan yang baik, sangat baik.”
“Ia sangat mengecewakan apabila kami seharusnya dapat menjaringkan lebih banyak gol. Nick Pope memang sangat bersedia. Kami telah memanaskan badannya sepanjang aksi sehingga dia dapat melakukan aksi menyelamat yang menakjubkan.
“Setiap kali akan ada seseorang yang mahu menafikan peluang kami dan itulah Nick Pope. Ada masanya, seperti Liverpool menentang Nick Pope,” puji Klopp dengan aksi cemerlang yang telah ditonjolkan oleh penjaga gol utama Burnley itu.
Bakal pecah dominasi kelab elit
Anugerah Sarung Tangan Emas ini telah diperkenalkan sejak musim 2004 dan jika ditakdirkan Nick Pope memenanginya, beliau akan menjadi pemenang kesembilan selepas 17 edisi (terdapat beberapa penjaga gol memenanginya berulang kali).
Antara yang memenanginya beberapa kali adalah Petr Cech (2004/05, 2009/10, 2013/14, 2015/16), Joe Hart (2010/11, 2011/12, 2012/13, 2014/15) dan Pepe Reina (2005/06, 2006/07, 2007/08). Musim lalu ia menjadi milik Alisson Becker.
Selain itu, sejak diperkenalkan, hanya penjaga gawang daripada Manchester City, Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Liverpool yang telah merangkulnya dan jika Pope melakukannya musim ini, ia akan berjaya memecah dominasi mereka.
Menariknya, beliau juga bakal menjadi pemain England kedua selepas Joe Hart memenangi anugerah tersebut sekiranya ianya berjaya direalisasikan pada penghujung musim nanti. Adakah pemain berusia 28 tahun ini akan berjaya melakukannya?
Penutup
Saingan Premier League hanya berbaki 3 ke 4 perlawanan sahaja lagi dan dengan baki perlawanan Burnley menentang Wolves, Norwich City dan Brighton, segalanya mungkin mampu direalisasikan oleh penjaga gawang nombor satu The Clarets itu.
Bagaimana para pembaca melihat prestasi Nick Pope memacu Burnley musim ini? Biarpun sentiasa dikatakan cemerlang, beliau baru dua kali membuat penampilan bersama England dan nampaknya Gareth Southgate akan pening membuat pilihan.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES