Shukor Adan Harap Liga Malaysia Kembali Bersambung 1 September

Shukor Adan

Pertahanan berpengalaman, Shukor Adan yang kini antara tonggak utama Kuala Lumpur, mengharapkan Liga Malaysia kekal bermula 1 September bagi memastikan semua pasukan mampu berada di tahap maksima dan mengelakkan risiko kecederaan dalam kalangan pemain.

Faktor itu juga bersesuaian dengan kebenaran latihan penuh kontak yang bermula 15 Julai ini sekali gus memberikan masa sekurang-kurangnya enam minggu kepada pemain serta pasukan membuat persiapan menyeluruh termasuk aksi persahabatan.

Bagaimanapun, Shukor menyerahkan semua ketetapan kepada Malaysian Football League (MFL) untuk membuat keputusan sambil bersedia jika saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier dimulakan pada pertengahan Ogos atau awal September.

“Kalau diikutkan, saya lagi suka bermain pada 1 September seperti kita ketahui sebelum ini kerana memberikan masa yang lebih kepada pasukan membuat persiapan dan pemain mendapatkan kecergasan berbanding 15 Ogos.

“Bukan semua pasukan bermula awal sebaik dibenarkan latihan fasa 1 pada 15 Jun lalu, seperti Kuala Lumpur kami hanya bermula 29 Jun iaitu dalam tempoh dua minggu sahaja.

“Jadi saya rasa jika kekal pada 1 September, situasi itu lebih baik kepada semua pasukan tambahan kami sempat mengatur perlawanan persahabatan.

“Apa jua keputusan MFL nanti, saya dan pemain lain di Kuala Lumpur sedia patuhi serta akan cuba bersiap sedia pada tarikh permulaan liga yang akan ditetapkan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan ( Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan dibenarkan bermula pada 15 Ogos ini.

Pengumuman ini termasuk penganjuran Liga Malaysia namun kehadiran penonton masih belum dibenarkan dan hanya terhad kepada pertandingan dalam negara sahaja.

Kredit featured image: Kuala Lumpur Hawks

Baca artikel lain dari kami mengenai Shukor Adan:

Leave a Reply