Nick Pope: Si Buangan Ipswich Yang Bakal Bermain Di Piala Dunia

Dalam perenggan akhir artikel hasil tulisan Alistair Tweedale mengenai Nick Pope di The Telegraph menyatakan;

‘Kesilapan yang lalu harus dijadikan pengajaran untuk edisi tahun ini, penjaga gol yang beraksi baik, harus berada di Rusia.’

Apa yang cuba disampaikan oleh Tweedale adalah England tidak boleh lagi melakukan kesilapan dalam pemilihan penjaga gawang utama untuk skuad Three Lions.

Menurut penulis, penjaga gawang Burnley ketika ini, Nick Pope adalah pilihan yang terbaik buat England berdasarkan persembahannya dan juga data statistik.

Nick Pope, antara penjaga gol terbaik EPL ketika ini

Pope ketika ini berada di kedudukan kedua di belakang penjaga gol Manchester United, David De Gea dalam senarai terbaik peratusan menyelamat pintu gol.

Telah beraksi hampir kesemua perlawanan musim ini selepas penampilan pertama bermula pada perlawanan ke-4 liga, Pope dilihat tidak lagi menoleh ke belakang.

Penjaga gawang utama Burnley yang juga pesaingnya di England, Tom Heaton ketika itu telah mengalami kecederaan bahu pada minit ke-36 ketika menentang Crystal Palace.

Dia telah melakukan 80.2% aksi menyelamat percubaan tepat lawan, dan hanya dibezakan 0.5% berbanding De Gea. Hanya dua penjaga gol ini memiliki peratusan yang lebih 80%.

Statistik peratusan menyelamat terbaik. Foto: The Telegraph.

Sementara penjaga gol England yang lain berada di kedudukan yang lebih bawah dengan Jack Butland (68.3%), diikuti Jordan Pickford (67.3%) dan Joe Hart (53.5%).

Mungkin ada yang mengatakan antara faktor prestasinya adalah Pope beraksi di belakang antara barisan pertahanan paling tersusun di Liga Premier Inggeris (EPL).

Namun, kelebihannya adalah dia mampu menyelamatkan gawang jika berdepan dengan situasi satu lawan satu. 10 daripada 22 peluang boleh gol lawan telah berjaya dinafikannya.

Dia juga adalah penyumbang kepada peningkatan Burnley dan bukanlah semata-mata penumpang di dalam pasukan. Dia telah menyelamatkan 89 daripada 111 percubaan tepat lawan.

Jauh meninggalkan pencabar terdekat, Lukasz Fabianski. Foto: The Telegraph.

Berbanding musim lalu, Burnley ketika ini berada di kedudukan ke-7 liga, selepas 30 perlawanan dengan 43 mata. 3 mata lebih daripada mata di penghujung musim lalu.

Statistik purata bolos juga dilihat telah berjaya dikurangkan iaitu dengan hanya 0.86 daripada 30 perlawanan, berbanding musim lalu, purata bolos adalah 1.44.

Merekodkan 10 clean sheets, iaitu kelima terbaik di EPL setakat ini, ia merupakan satu rekod yang hebat. Ianya juga lebih tiga clean sheets dari pesaing posisinya di kem England.

Posisi nombor 1 masih menjadi rebutan

Namun, pemain berusia 25 tahun ini baharu sahaja mendapat panggilan pertamanya untuk bersama England menjelang aksi persahabatan menentang Belanda dan Itali.

Menurut ketua jurulatih England, Gareth Southgate, posisi penjaga gol utama masih dalam perebutan. Bercakap kepada Skysports, Southgate menyatakan ia satu persaingan yang sihat.

“Pada pandangan kami, dia (Hart) adalah penjaga gawang utama ketika aksi kelayakan dan dia anggota penting buat pasukan, jadi kami mahukan dia untuk terus terlibat.

Joe Hart
Joe Hart masih jadi pilihan Southgate. Kredit foto: Skysports

“Kami tidak tahu bagaimana pengakhiran kepada semua penjaga gawang kami dalam 8 hingga 10 minggu akan datang, tetapi ia adalah satu persaingan yang sihat dan mereka telah bersedia.

“Jelas sekali, posisi penjaga gol utama pasukan masih dalam perebutan,” ujar Southgate lagi kepada Skysports.

Ketika ini, antara penjaga gawang England adalah Joe Hart, Tom Heaton, Fraser Forster, Jordan Pickford, Jack Butland dan juga Ben Foster, yang boleh kembali dari persaraan, jika diperlukan.

Dan dengan berbaki hanya 13 minggu menjelang aksi pertama England di Piala Dunia, Southgate secara tiba-tiba memanggil Pope untuk bersaing bersama senarai pemain di atas.

Nick Pope teruja, mahu jadi nombor 1 England

Pope menyatakan kehadirannya ke dalam kem Three Lions bukan sekadar mahu melengkapkan skuad tetapi dengan keazaman mahu menjadi penjaga gol utama England.

“Ianya bukan satu kebetulan untuk terpilih bersama skuad England, walaupun perkara seperti ini bukan sesuatu yang dapat dijangkakan enam bulan yang lalu,” ujar Pope kepada Daily Star.

Nick Pope. Foto: Reuters.

“Saya hadir ke sini untuk menikmatinya dan menunjukkan kebolehan saya. Anda perlukan kesungguhan dan saya mahu bermain untuk England,” tambahnya lagi.

Bercakap kepada BBC, dia menyatakan baki 8 perlawanan liga musim ini akan dimanfaatkannya untuk terus berusaha memikat ketua jurulatih England.

“Saya mahu ia menjadi milik saya,” tekad Pope mengenai peluang untuk menjadi penjaga gol utama yang masih terbuka kepada semua senarai pemain termasuk dirinya.

“Ini adalah cabaran baharu dan cabaran inilah yang saya idam-idamkan,” tambahnya lagi sambil menyatakan setiap pemain perlu memaksa diri untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Dari buangan Ipswich, kini calon penjaga gol ke Piala Dunia

“Jelas sekali, apabila dilepaskan oleh Ipswich pada usia 16 tahun, anda akan fikir kejayaan itu jauh dan ia kemungkinan yang sangat jauh,” cerita Pope kepada The Telegraph.

Selepas dilepaskan oleh Ipswich, Pope telah beraksi bersama kelab bukan liga antaranya Bury Town. Selepas menyertai Charlton Athletic, dia dipinjamkan ke kelab-kelab bawahan juga.

Antara kelab-kelab yang pernah disertainya adalah Harrow Borough, Welling United, Cambridge United, Aldershot Town, York City dan Bury sebelum menyertai Burnley pada musim 2016.

“Saya pernah bermain bersama skuad simpanan Bury di Liga Essex dan Suffolk Border. Dan saya rasa itu adalah di divisyen tujuh,” imbau Pope mengenai kelab terakhirnya.

Nick Pope ketika zaman remajanya. Foto: The Telegraph.

Menurut Pope, padang terkecil yang pernah dia beraksi adalah di Little Oakley di timur Essex dan juga adakalanya di lokasi yang tiada di dalam peta!

Selain itu, Pope juga pernah bekerja sambilan sebagai pengedar susu di Cambridgeshire dan bekerja di ‘Next’ untuk menyara dirinya disamping menyambung pengajian di kolej.

Membuat kerja sambilan tersebut telah membuatkan dirinya untuk bersedia seawal jam 4 pagi dan menurut Pope, kerja tersebut tidak menawarkan gaji yang besar.

“Saya telah menghabiskan dua tahun pengajian pemasaran perniagaan di kolej serta setahun pengajian sains sukan,” ujarnya mengenai pengajiannya di Kolej West Suffolk.

Penutup

Apa yang anda dapat dari perkongsian ini? Perkara yang menarik perhatian penulis untuk berkongsi kisah Nick Pope ini adalah, dia tidak berputus asa walaupun beraksi hingga ke divisyen 7.

Dari tahun Pope dilepaskan Ipswich, pelbagai liku perjalanan dilaluinya untuk berada di tahap sekarang. Walaupun kini hanya beraksi di Burnley, tetapi statistik dirinya sangat hebat!

Siapa sangka, beberapa tahun lalu, Pope adalah pemain di divisyen bawahan liga. Bekas pengurusnya di Bury Town, Richard Wilkins pernah menyatakan, Pope mampu melonjak ke puncak kerier.

Kini, dia hanya selangkah lagi untuk mendapat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dan pastinya Southgate akan cuba memberinya peluang tersebut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN