Bekas pengurus Real Madrid, Fabio Capello tanpa berselindung mengakui Ronaldo Luis Nazario de Lima sememangnya merupakan seorang pemain yang cukup hebat pernah bermain di bawah kendaliannya.
Di sebalik pujian menggunung itu, pengendali berpengalaman luas tersebut dalam masa sama turut menganggap Ronaldo sebagai seorang yang suka mencipta masalah terutamanya di luar padang
Kedua-dua figura terkenal dalam kancah bola sepak dunia itu pernah bekerjasama di Real Madrid hanya selama semusim setengah selepas Ronaldo berhijrah ke AC Milan pada Januari 2007.
”Bakat yang cukup hebat pernah mendapat bimbingan saya ialah Ronaldo,” ujar Capello menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Tetapi dalam masa sama, dia juga adalah pemain yang paling banyak memberikan masalah buat saya di bilik persalinan.”
”Dia suka mengadakan pesta dan bermacam-macam perkara lagi.”
”Pernah sekali pada satu ketika, [Ruud] Van Nistelrooy datang berjumpa saya dan berkata,’Coach’, bilik persalinan seperti berbau alkohol.”
”Apabila Ronaldo berhijrah ke Milan, kami kembali meraih kemenangan. Tetapi apabila kami bercakap mengenai bakatnya, memang dia adalah yang terbaik. Tidak ada keraguan mengenai perkara tersebut,” tambah Fabio Capello lagi.
Selepas hampir 19 tahun berada dalam kancah profesional, Ronaldo berjaya menjulang dua trofi Piala Dunia iaitu pada tahun 1994 dan 2002 serta dua kejuaraan Copa America 1997 dan 1999.
Di pentas domestik pula, pelbagai nikmati kejuaraan pernah dimenangi Ronaldo seperti juara La Liga 2002/03 ketika bersama Real Madrid, UEFA Cup Winners’ Cup 1996/97 (Barcelona), Piala UEFA 1997/98 (Inter Milan) serta turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik FIFA bagi tahun 1997,1997 dan 2002.