Pemain tengah Anderlecht, Samir Nasri mendedahkan cara unik yang digunakan oleh bekas pengurus pasukan Sevilla, Jorge Sampaoli dalam menarik minat beliau untuk menyertai kelab La Liga itu.
Tidak seperti kebiasaan apabila para pemain perlu menjaga disiplin ketika di luar padang, tetapi sebaliknya dinikmati oleh pemain yang kini berusia 32 tahun itu.
Hal ini kerana Sampaoli memberikan kebebasan sepenuhnya buat Nasri untuk melakukan apa sahaja yang dimahukannya termasuklah berparti sehingga lewat malam dan juga menikmati minuman beralkohol.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Nasri dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh media ternama barat, Goal.
”Sampaoli begitu berminat untuk mendapatkan khidmat saya dan dia berkata: ‘marilah ke sini [Sevilla], anda boleh minum [arak], pergi ke kelab malam dan melakukan apa sahaja yang anda mahukan dan saya akan melindungi kamu di sini. Cuma anda hanya perlu mempamerkan prestasi terbaik ketika di padang.”
”Sampaoli begitu tekad mahukan saya di Sevilla sehingga sanggup menjaga anjing peliharaan saya untuk sementara sekiranya saya keluar pada hujung minggu.”
Dalam pada itu, Nasri turut mengakui meskipun berdepan dengan halangan komunikasi berikutan bahasa, beliau tetap kagum dengan karisma dimiliki pengurus tersebut dalam memotivasikan para pemainnya.
”Ia membuatkan bulu roma saya naik ketika mendengar kata-kata motivasi Sampaoli di bilik persalinan walaupun saya tidak memahami pun bahasa Sepanyol,” ujar Samir Nasri lagi.
Jorge Sampaoli berjaya mendapatkan khidmat Nasri secara pinjaman daripada Manchester City pada 31 Ogos 2016 dan pemain tengah tersebut telah melakukan 30 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai serta turut berjaya mencetak tiga jaringan.
Tamat sahaja saingan 2016/17, beliau berhijrah ke Turki untuk menyarung jersi Antalyaspor manakala Sampaoli pula telah dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Argentina.