Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa bekas pengurus Atletico Madrid, Javier Aguirre adalah merupakan antara individu yang merintis jalan buat penyerang prolifik Manchester City, Sergio Aguero menjadi antara peledak berbisa di dunia pada ketika ini.
Aguirre berjaya mengesan bakat Aguero dengan merekrut pemain kelahiran Buenos Aires tersebut dari Independiente bagi menghadapi musim 2006/07 dengan nilai perpindahan berjumlah €20 juta.
Kurang menyerlah pada musim pertamanya, Aguero membuktikan kualiti hebat dimilikinya dengan kembali bangkit pada musim berikutnya.
Selepas itu beliau tidak memandang ke belakang lagi dalam menjadikannya sebagai antara penyerang disegani di Eropah sehingga menarik minat Manchester City dan berhijrah ke kelab tersebut pada musim 2011/12.
Menjadi sebagai yang terawal mengesan bakat penyerang tersebut, Aguirre pastinya amat mengenali dan memahami tindak tanduk bekas anak didiknya itu.
Menurut sumber Goal, Aguirre yang kini merupakan pengurus pasukan Leganes dalam saingan La Liga mengimbau kembali nostalgianya bersama penyerang berusia 31 tahun itu.
”Ia kira-kira 14 tahun yang lalu. Dia merupakan seorang budak kecil berusia 17 tahun, keseorangan di bandar yang besar. Di Eropah segalanya begitu berbeza buatnya.”
”Dia merupakan seorang yang sangat pintar ketika di dalam padang tetapi dia sedikit rendah dan kelab telah mengeluarkan €20 juta untuk mendapatkannya.”
”Saya bercakap kepada kelab: ‘anda telah membayar sejumlah wang yang banyak untuk pemain ini kerana dia tidak tahu di mana dia berada sekarang – dia tidak tahu apa-apa mengenai La Liga, tentang Madrid, tidak ada apa-apa. Dia bermula dengan kosong,” ujar Aguirre menurut laporan Goal.
”Pada pendapat saya, dia tidak cukup sesuai untuk bermain pada permulaan musim, dalam pra-musim saya melihatnya dan berkata: ‘apa akan terjadi sekiranya saya menghantar dia ke Atletico Madrid B untuk sebulan?’, jadi dia menyertai pasukan itu dengan berlatih bersama pemain sebayanya dan menikmati pra-musim bersama Atletico Madrid B.”
”Saya diberitahu bahawa media akan ‘membunuh’ saya sekiranya mereka mengetahui bahawa saya telah menghantarnya ke Atletico Madrid B, jadi saya terpaksa bermula dari awal bersamanya.”
Dalam pada itu, Aguirre turut berkongsikan pendapatnya tentang Aguero ketika dibawah kendaliannya.
”Sergio, bersama dengan bola, dia adalah seorang pemain terbaik dalam pasukan tetapi jika tanpa bola, dia menyaksikan perlawanan seperti seorang penyokong.”
”Kami mengatakan kepadanya bahawa dia perlu untuk membantu kami ketika tanpa bola, apabila pasukan lawan mendapat bola, anda perlu berlari dan membantu.”
”Kami memberitahu kepadanya supaya bergerak dan mencari ruang, tidak hanya menunggu bola kerana dia memerlukan bola di kakinya. kemudian dia melakukan semuanya dengan cara berbeza.”
”Kami tidak perlu mengajarnya bagaimana cara untuk bermain, itu bukanlah ayat yang betul tetapi tanpa bola, kami lebih banyak bekerja dengannya,” ujar Javier Aguirre lagi.
Kredit foto: Jasper Juinen/Getty Images