Pertahanan kental Liverpool, Virgil Van Dijk tanpa berselindung mendedahkan beliau menyimpan azam untuk menjadi legenda kepada kelab yang berpangkalan di Merseyside itu.
Van Dijk mengejutkan bola sepak dunia apabila melengkapkan perpindahan bernilai £75 juta untuk menyarung jersi Liverpool pada jendela perpindahan musim sejuk Liga Perdana Inggeris 2017/18.
Walaupun pada mulanya ramai yang mempersoalkan keupayaannya, pemain kelahiran Breda, Belanda itu tidak menunggu lama untuk membuktikan kehebatannya dalam memantapkan barisan pertahanan Liverpool yang sebelum itu agak rapuh.
Tidak keterlaluan juga untuk memperkatakan sifat kepimpinan Van Dijk mengemudi jentera pertahanan juga menjadi faktor peningkatan mendadak prestasi Liverpool sejak beberapa tahun ini.
Ketika ditanya apakah yang ingin beliau ingati apabila sudah bersara daripada kancah bola sepak profesional, ini respon pantas Van Dijk:
”Sebagai legenda Liverpool.”
”Saya mahu mengecapi perkara yang luar biasa di sini. Kami mempunyai satu pasukan yang hebat, kami tidak kekurangan apa-apapun.”
”Kami mempunyai semua ‘alat’ yang diperlukan untuk menang: seorang jurulatih yang kami kenali, sebuah pasukan serba boleh, cara permainan yang boleh memberikan kemenangan, stadium dan penyokong yang memainkan peranan mereka,” ujar Van Dijk menurut laporan Goal.
”Ya, saya mahu menjadi salah seorang daripada pemain yang kembali ke Anfield selepas persaraan. Saya melihat legenda kelab dan saya merasakan seperti sebahagian daripada keluarga besar ini.”
Selepas hampir dua musim setengah bersama Liverpool, Van Dijk turut berjaya menjaringkan lapan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kredit foto: Alex Livesey – Danehouse/Getty Images