Bekas penjaga gol skuad kebangsaan Argentina, Oscar Ustari mengakui bahawa adalah tidak adil bagi Lionel Messi sekiranya bintang dunia itu menamatkan karier bola sepak tanpa mendakap trofi Piala Dunia.
Lionel Messi telah mengecapi pelbagai nikmat kejuaraan ketika bersama Barcelona dan juga karier peribadinya tetapi perjuangan untuk memenangi piala bersama La Albiceleste seringkali menemui jalan buntu buat pemain berusia 33 tahun itu.
Pencapaian yang paling hampir adalah pada Piala Dunia 2014 di Brazil namun, jaringan tunggal Mario Gotze pada masa tambahan memusnahkan harapan Messi dan Argentina untuk mengulangi pencapaian muncul juara edisi 1986.
Nasib yang sama turut dialami Messi dalam kejohanan serantau apabila tumpas dua kali pada perlawanan akhir Copa America (2015 & 2016). Lebih perit untuk ditelan Argentina setelah kedua-dua aksi tersebut mereka dikecewakan oleh Chile menerusi penentuan sepakan penalti.
Lionel Messi sendiri pada final 2016 begitu menghampakan apabila tendangan penalti yang diambilnya melewati palang gol.
Kekecewaan yang dihadapi menyaksikan beliau pernah mengumumkan persaraan daripada kancah bola sepak antarabangsa sebanyak dua kali tetapi akhirnya membuat ‘u-turn’.
”Saya tidak ragu sekiranya Messi tidak bergelar juara dunia, bola sepak adalah tidak adil.”
”Meragui Messi adalah perkara yang tidak masuk akal. Perkara yang baik atau tidak, tetapi saya boleh katakan saya pernah melihat dia menangis seperti kanak-kanak kerana apa yang telah berlaku pada pasukan kebangsaan. Ia sangat sukar buatnya,” ujar Ustari menurut laporan Goal.
Saya masih ingat pada Copa America 2011, ketika saya pulih daripada kecederaan lutut dan apabila kami tewas, saya lihat Messi di stadium dan melihatnya seperti saya tidak pernah menyaksikan dirinya sebegitu, hancur (hatinya).”
Kredit foto: Bob Thomas/Popperfoto via Getty Images/Getty Images