Rangers mengalami kekalahan pertama kejohanan Eropah dalam 18 perlawanan selepas tewas 1-3 kepada Bayer Leverkusen dalam aksi pertama pusingan 16 UEFA Europa League.
Penalti Kai Havertz pada separuh masa pertama – yang diberikan selepas pemeriksaan VAR selepas George Edmundson memegang bola – meletakkan pelawat di depan sebelum Charles Aranguiz meledak gol kedua.
Edmundson menebus kesilapannya dengan menanduk masuk gol Rangers hasil hantaran lintang James Tavernier. Tetapi Leon Bailey menjaringkan gol ketiga yang cantik untuk memaksa Rangers merasai kekalahan ketiga dalam empat perlawanan terakhir mereka.
Malam yang mengecewakan bagi pasukan Scottish Premiership itu turut menyaksikan botol gelas telah dicampak oleh penyokong mereka ke atas padang. Botol itu kemudiannya dikutip oleh pemain Leverkusen, Moussa Diaby.
Perlawanan timbal balik dijadualkan akan dimainkan di Stadium Bay Arena yang kosong pada Khamis minggu depan sebagai langkah menghalang penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun apabila banyak liga sekitar Eropah dan dua perlawanan pertama pusingan 16 Europa League awal pagi tadi ditangguhkan, tidak dapat dipastikan sama ada perlawanan timbal balik akan berjalan seperti biasa atau tidak.