Jika edisi lalu menampilkan dua pasukan Asia Tenggara, Vietnam dan Malaysia di peringkat suku akhir Kejohanan AFC B-23, edisi 2020 kali ini menyaksikan hanya satu wakil iaitu Thailand yang berjaya melepasi halangan di Kumpulan A. Selaku tuan rumah dan kali pertama berjaya melepasi peringkat kumpulan, Thailand pastinya memasang impian untuk layak hingga ke perlawanan akhir.
Vietnam kecundang di peringkat kumpulan dan gagal mengulangi pencapaian edisi 2018 untuk meraih gelaran naib juara selepas menamatkan saingan di kedudukan tercorot Kumpulan D yang dijuarai oleh UAE, diikuti oleh Jordan dan Korea Utara.
Pengendali Thailand, Akira Nishino ketika mengambarkan perasaannya membawa Thailand melepasi saingan peringkat kumpulan buat kali pertama dalam tiga percubaan mereka, menyatakan kegembiraanya disamping menjelaskan ada lagi aspek yang boleh dibaiki.
“Dalam kejohanan ini, saya percaya para pemain sudah mula memahami bagaimana saya mahu mereka bermain dan gaya yang mahu saya terapkan ke dalam pasukan,” jelas Akira Nishino kepada pihak media sejurus mengikat Iraq dalam aksi terakhir kumpulan.
“Saya pernah berkata yang terdapat beberapa lagi aspek dalam permainan kita yang mahu ditingkatkan dan kita akan membaiki segala kekurangan yang ada dalam pasukan menjelang aksi seterusnya,” tambahnya lagi.
Gajah Perang telah menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan empat mata, hanya satu mata di belakang juara kumpulan, Australia sementara Bahrain dan Iraq tersingkir apabila hanya mengumpul tiga dan dua mata masing-masing.
“Ia sangat menggembirakan apabila kita melepasi peringkat kumpulan, para pemain telah berikan yang terbaik dan kita sangat gembira untuk berada di peringkat suku akhir. Sebagai tuan rumah, para pemain tampak bersemangat,” jelas Akira Nishino.
“Setelah melalui tiga aksi di peringkat kumpulan, saya percaya para pemain telah membuktikan keupayaan mereka dan kini mereka akan meneruskannya. Mereka telah bertemu dengan pasukan-pasukan berpengalaman dan ini adalah pendedahan yang terbaik buat mereka,” tambahnya lagi yang dipetik berkata menerusi Bangkok Post.
Thailand akan bertemu Arab Saudi di peringkat suku akhir pada malam ini di Stadium Thammasat, Rangsit. Pada edisi lalu, Malaysia mengejutkan dan menyingkirkan Arab Saudi di peringkat kumpulan dengan kemenangan tipis 1-0.
Kredit Foto: The AFC