Minggu lalu berlaku kekecohan penyokong di Stadion Gelora Bung Tomo (GBT), Surabaya. Kekecohan itu dicetuskan oleg para penyokong Persebaya Surabaya.
Kelompok ultras Persebaya digelar Bonek. Akibat marah dengan prestasi pasukan mereka yang tak menentu, Bonek bertindak membuat kekecohan.
Mereka masuk ke padang dan menarik papan iklan lalu dibakar di atas padang.
Selain itu, GBT turut mengalami kerosakan fasiliti yang teruk. Angka kerugian dilaporkan sekitar RM90,000.00.
Stadium tersebut, antara venue yang dicalonkan untuk penganjuran Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung pada 2021.
Kekecohan itu berlaku hanya selepas 5 hari PSSI mengumumkan kejayaan mereka mendapat hak penganjuran Piala Dunia B-20.
Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Desatria memberikan jaminan insiden itu tidak akan mengganggu persiapan Indonesia untuk menganjurkan Piala Dunia Belia itu nanti.
Indonesia sudah mengemukakan 10 stadium untuk dicalonkan sebagai venue pertandingan. 6 daripadanya akan dipilih oleh jawatankuasa FIFA nanti.
Ratu Tisha yakin GBT akan terpilih menjadi salah satu venue pertandingan.
Ratu Tisha berkata: “Insiden tersebut tiada kaitan langsung persiapan ini [Piala Dunia B-20], dan kami akan terus berjalan.”
“PT Liga Indonesia Baru selaku pengendali pertandingan akan terus memberikan laporan secara komprehensif dan Jawatankuasa Disiplin PSSI akan mengambil tindakan tegas bila ada tindakan yang dianggap sebagai pelanggaran disiplin,” ujar Ratu Tisha Destria.
“PSSI akan bekerjasama dengan semua pemerintah kota, terutama sekali yang memiliki venue untuk Piala Dunia B-20 agar lebih komprehensif dalam melakukan penambahbaikan serta menjaga kondisi fasiliti tersebut dan di sekitarnya.”
“Saya percaya Persebaya sebagai kelab yang bermain di GBT akan menjalankan tugasnya dengan baik. PSSI percaya itu, dan kami tetap fokus dengan persiapan infrastruktur,” tambah beliau lagi.