Peminat bola sepak tempatan terutamanya di Terengganu telah menerima perkhabaran duka bahawa penjaga gol pasukan Terengganu FC (TFC), Suffian Abdul Rahman telah meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari hari ini.
Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya dalam temubualnya dengan Harian Metro mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pemain berusia 41 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya di rumahnya yang terletak di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.
“Saya begitu terkejut mendengar berita itu, saya dimaklumkan kematian arwah disebabkan masalah jantung dan arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tunggal selepas solat Asar petang ini.
“Saya mengharapkan peminat setia skuad TFC dan seluruh peminat bola sepak tanah air mendoakan arwah Suffian ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman,” katanya.
Awal bulan ini, bekas penjaga gol kebangsaan itu dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat masalah jantung.
Musim ini, penjaga gol veteren itu masih menjadi sandaran utama jurulatih untuk menjaga gawang pasukan dari dibolosi dan dilantik menjadi kapten untuk beberapa perlawanan.
Kami dengan ini merakamkan ucapan takziah buat keluarga Suffian Abdul Rahman dan mendoakan agar Allahyarham dihimpunkan bersama orang-orang soleh.
اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهُ وَارْحَمْـهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْـهُ