Jurulatih JDT II, Ervin Boban mengakui kejohanan Challenge Cup akan menjadi platform terbaik kebangkitan buat anak buahnya.
Ia boleh dikatakan sebagai penawar duka selepas penurunan prestasi pada penghujung kempen Liga Premier yang menyaksikan mereka menduduki tangga kedua musim ini.
Lebih tepat, Boban berharap kejayaan layak ke pentas final Challenge Cup 2019 dapat mengubati kekecewaan selepas menyaksikan JDT II diundi dengan Kelantan dan Sarawak dalam saingan Kumpulan A.
Kejohanan Challenge Cup 2019 akan membuka tirai pada 6, 7 dan 8 Ogos disusuli dua aksi final yang bakal diadakan pada 6 dan 12 Oktober depan.
“Saya berharap kami dapat memberikan yang terbaik dan saya sedang mencari sebab mengapa prestasi kami sedikit menurun dalam beberapa perlawanan tetapi seperti saya katakan sebelum ini bola sepak itu aneh.
“Pada akhirnya, kami akan cuba sedaya upaya untuk layak ke pentas final Challenge Cup pada musim ini,” katanya.
Penguasaan JDT II di singgahsana Liga Premier Malaysia tidak mampu bertahan hingga ke akhirnya selepas Sabah menggungguli saingan tersebut dengan mengumpul 43 mata.
Skuad bimbingan bekas legenda import Johor itu menamatkan saingan ditangga kedua dengan 33 mata hasil sembilan kemenangan, enam keputusan seri dan lima kekalahan.