Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer nyata berpuas hati dengan perkembangan positif dipamerkan anak buahnya menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
United yang kini di Singapura bagi menghadapi saingan International Champions Cup 2019, berjaya menewaskan Inter Milan 1-0 hasil jaringan tunggal pemain remaja, Mason Greenwood pada minit ke-76.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Solskjaer memuji prestasi baik dipamerkan anak buahnya.
”Kami semakin baik dan pastinya lebih baik.”
”Latihan pra-musim kami sudah memasuki 3 minggu dan kami telah bekerja dalam fokus terhadap intensiti dalam latihan serta menekan (pressing).”
”Kami mempunyai pemain yang gemar untuk melakukan tekanan di bahagian depan. Saya tidak tahu berapa banyak kali Jesse (Lingard) memenangi bola untuk kami pada hari ini (malam tadi).”
”Tetapi dia merupakan salah seorang pemain terbaik dalam melakukan tekanan. Marcus (Rashford) juga dalam melakukannya.”
“Anda boleh lihat Anthony (Martial) juga bekerja keras dan memenangi beberapa perebutan bola untuk kami. Ia sangat mengujakan.”
“Kami harap ia akan berterusan,” ujar Solskjaer yang bercakap dalam sidang media selepas perlawanan bertemu Inter Milan.
Perlawanan seterusnya buat skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer dalam saingan ICC 2019 adalah lawan senegara, Tottenham Hotspur pada aksi yang berlangsung Khamis ini di Hongkou Stadium, Shanghai.