Quantcast

BERITA

Zidane Tak Sabar Mahu Lihat Gareth Bale Tinggalkan Real Madrid, Kalau Boleh Esok

Kadangkala terlalu jujur itu akan membuatkan ramai orang tak senang. Itu yang berlaku di kem Real Madrid apabila Zinedine Zidane menyatakan beliau dan kelab sedang mengusahakan agar Gareth Bale mendapat kaleb baharu secepat mungkin.

Real Madrid tunduk 1-3 di tangan Bayern Munich dalam aksi pemanas badan. Aksi Eden Hazard juga kurang mengujakan. Selepas tamat perlawanan, Zidane pula memberitahu sebab kenapa Bale tidak bermain.

Menurut Zidane: “Bale tidak bermain kerana beliau semakin hampir meninggalkan pasukan ini. Kami berharap beliau akan pergi secepat mungkin, jika [dapat] pergi esok, ianya pasti lebih baik.”

“Kami juga sedang mengusahakan urusan perpindahan keluar beliau ke pasukan baharu.”

Zidane menyatakan perkara itu bukan kerana isu peribadi. Tetapi lebih kepada profesional – kerana beliau harus membuat keputusan.

Komen Zidane itu mengesahkan lagi bahawa hubungan Zidane dengan Bale semakin teruk.

Ramai juga mengecam komen Zinedine Zidane yang dikatakan agak melampau ke atas pemain yang ada legasi bersama generasi Real Madrid yang menjuarai 3 UCL secara berturut-turut.

Sebelum Zidane melepaskan jawatan dahulu, Bale antara pemain yang pernah mengkritik keputusan Zidane.

Mulai saat itu, Zidane tidak sehaluan dengan Gareth Bale. Ketika Zidane kembali semula ke pasukan utama – pada akhir musim lalu – Zidane dengan terbuka menegaskan bahawa Bale tidak ada dalam perancangan musim hadapan.

Bale memberikan respon bahawa beliau tidak mahu pergi kecuali Real Madrid membayar kesemua baki gajinya. Bale enggan menerima pemotongan gaji di kelab baharu.

Bale dikaitkan dengan kepulangan semula ke Spurs, namun ejen beliau menyatakan Bale tetap dengan pendiriannya untuk kekal walaupun terpaksa hanya bermain golf sepanjang musim hadapan – bagi mengisi masa – kerana tidak bermain bola sepak.