Quantcast

BERITA

MPL 2019: Sarawak Berisiko Jadi Pasukan Tunggal Tersingkir Ke Liga M3

Sarawak ketinggalan 1-0, sebelum kembali bangkit untuk menang 3-1 ke atas Selangor United di saingan Liga Premier pada malam tadi. Namun demikian, kemenangan tersebut sudah terlambat bagi skuad Bujang Senang bagi mengelakkan diri dari berisiko menjadi pasukan tunggal yang akan jatuh ke saingan Liga M3 pada musim hadapan.

Empat kemenangan, empat seri dan 12 kali kalah sepanjang saingan pada musim ini, Sarawak menduduki tangga tercorot kedudukan di Liga Premier dengan 16 mata.

Kelantan yang bersaing dengan Sarawak untuk mengelak dari terjerumus ke saingan Liga M3 musim hadapan menggunakan sebaiknya peluang beraksi di halaman sendiri untuk menewaskan UKM FC 2-0 di Kota Bharu.

Sumber: MFL

Kemenangan Kelantan bermakna anak buah Yusri Che Lah mempunyai kelebihan 1 mata berbanding Sarawak.

Musim ini, hanya satu pasukan sahaja akan disingkirkan ke divisyen lebih bawah selepas penyertaan Perlis FA dibatalkan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL).

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sarawak pada malam tadi Selangor United terlebih dahulu di hadapan melalui jaringan minit ke-6 Nurshamil Abdul Ghani.

Foto: MFL

Sedar akan kedudukan mereka – sambil mengharap kedudukan di Kota Bharu memihak kepada mereka – Sarawak menggandakan asakan selepas itu.

Bobby Gonzales akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32 perlawanan, sebelum gol sendiri Franklin Anzite pada babak kedua dan gol jaringan penyerang import, Hudson de Jesus pada minit ke-75 memberikan kemenangan selesa 3-1.

Namun, menang atau tidak ianya sudah terlambat buat Bujang Senang dalam musim yang dianggap sebagai paling teruk dalam sejarah bola sepak pasukan yang pernah dianggap gergasi dari Borneo satu ketika dahulu.