Quantcast

BERITA

ICC 2019: Antonio Conte Akui Inter Milan Perlu Kerja Keras Untuk Musim Baru

Pengurus baharu Inter Milan, Antonio Conte mengakui bahawa pasukannya perlu bekerja keras bagi menghadapi saingan sebenar Serie A yang bakal bermula 24 Ogos nanti.

Kenyataan itu ada asasnya selepas Inter Milan tewas 0-1 ditangan Manchester United dalam aksi International Champions Cup 2019 di Stadium Nasional Singapura, malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, Inter Milan sedikit bergelut bagi menyaingi barisan utama dan kedua yang diturunkan Manchester United.

”Kami tahu bahawa perlawanan hari ini (malam tadi) akan menjadi sukar, kami juga akan menghadapi musim yang sukar. Tetapi pasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi mencatatkan kemenangan.Walaupun kami tidak berjaya mendapatkannya.”

”Kami telah menunjukkan peningkatan dalam pergerakan dan penguasaan bola terutamanya ketika menekan.”

”Beberapa hari yang lalu kami telah menghabiskan masa dengan bekerja keras dan tidak boleh hanya beraksi dalam perlawanan persahabatan.”

”Kami perlu untuk mengekalkan latihan di tahap yang tinggi dan bersedia untuk menghadapi musim baharu,” komen Conte ketika sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Antonio Conte turut mempertahankan keputusannya meletakkan Ivan Perisic beraksi sebagai penyerang.

”Perisic tidak beraksi dengan baik seperti diharapkan. Tetapi kami masih meletakkannya selaku penyerang, jadi kami terus melakukan perkara tersebut.”