Kelab gergasi England, Manchester City yang menjalinkan kerjasama dengan penaja baru, PUMA telah melancarkan jersi ketiga mereka di Shanghai, petang semalam.
Kit ketiga tersebut dilancarkan sebelum ketibaan pasukan The Cityzens itu bagi menghadapi perlawanan pra-musim di Asia yang merangkumi Nanjing, Shanghai, Hong Kong dan Yokohama.
Barisan pemain skuad juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagaimanapun tidak dapat berada pada majlis pelancaran tersebut kerana penerbangan mereka dari Manchester ke Shanghai terpaksa ditangguhkan sehari atas ‘masalah pentadbiran yang tidak dapat dielakkan’.
Selepas berjaya melancarkan jersi ‘Home & Away’ pada 1 Julai lalu di mana PUMA memberikan penghormatan buat industri dan budaya di Manchester, jersi ketiga ini pula menampilkan kombinasi warna kuning dan ‘peach’ yang mengilhamkan kecemerlangan di padang bola sepak gaya Manchester City.
Warna jersi yang bersemangat serta lebih berdaya cipta merangkumi kemodenan kelab dan misi untuk bermain bola sepak dengan lebih menarik, teknikal dan menyerang, dari skuad utama ke wanita sehingga ke pasukan akademi.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dalam satu kenyataannya berkata: ”Bola sepak adalah sumber inspirasi dan keseronokan kepada jutaan orang di seluruh dunia.”
”Di padang, matlamat kami adalah untuk beraksi bola sepak menyerang serta menghiburkan dan saya gembira bahawa pasukan reka bentuk PUMA telah menggunakan ia sebagai inspirasi buat jersi ketiga baru kami ini.”
”Saya berharap dapat melihatnya di padang pada musim ini,” jelas Guardiola lagi.
Juara Liga Perdana Inggeris itu akan memulakan perlawanan sulung dalam saingan Premier League Asia Trophy menentang West Ham United di Pusat Sukan Olimpik di Nanjung pada 17 Julai ini.
Dua lagi pasukan EPL turut akan beraksi iaitu Newcastle United dan Wolverhamtpon Wanderers. Perlawanan peringkat awal akan diadakan di Nanjing manakala aksi tempat ke-3/4 dan perlawanan akhir berlangsung di Stadium Bola Sepak Hongkou, Shanghai.
Dalam perkembangan yang sama, jersi ketiga Manchester City ini sudah boleh didapati pada hari ini di Puma.com, Mancity.com, kedai-kedai di seluruh dunia termasuk City Store yang baru diubahsuai di Stadium Etihad.
Kredit foto: Manchester City