Semalam skuad The Bos Gaurus mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan apabila menewaskan juara bertahan, Pahang dengan jaringan 3-0 untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.
Bagaimanapun, pengendali pasukan itu, Mehmet Durakovic mengakui perlawanan malam tadi bukan mudah selepas kehilangan beberapa tonggak utama yang digantung perlawanan dan mengalami kecederaan.
Beliau juga bangga dengan komitmen pemain dan memuji corak permainan anak buahnya yang dilihat menyerang tanpa henti sebaik perlawanan dimulakan.
“Sememangnya, dari mula hingga ke akhir, kita melakukan asakan serta tekanan dan tentunya ia adalah perlawanan terbaik kerana kita mendominasi permainan.
“Untuk pertama kali, kita tidak melakukan kesilapan walaupun ketiadaan tiga tonggak utama saya iaitu Ronaldo (Ronaldo Henrique Silva), Naim (Nazirul Naim Che Hashim) dan Azhan (Amirul Azhan Aznan).
“Kita cuba ubah sedikit kesebelasan utama serta taktik pada malam ini, dan ia menjadi,” katanya dalam Arena Metro
Jurulatih dari Australia itu turut berharap para penyokong mereka terus memberikan sokongan padu kerana mereka masih ada misi yang penting dalam saingan Liga Super selepas ini.
“Saya berharap penyokong akan terus memberikan sokongan tanpa henti kerana sudah tentu ia akan memberi kelebihan kepada pemain untuk terus melakukan kejayaan,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim melahirkan kesyukuran di atas kejayaan mara ke perlawanan akhir dan terpaksa lupakan apa yang berlaku ketika di Kuantan dalam aksi separuh akhir pertama.
“Minggu ini adalah minggu yang sukar bagi saya selepas melepaskan tiga gol pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Pahang namun saya anggap itu adalah ujian untuk saya.
“Kami masih ada empat lagi perlawanan dan saya sendiri akan cuba terbaik dalam liga, sama ada saya akan diturunkan pada perlawanan akhir itu terserah kepada jurulatih yang penting saya mahu jaga persembahan saya,” katanya.