MSL 2019: Kemenangan 3-1 Perak Tambah Duka Buat PKNP FC

Perak

Perak terus mengecewakan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) selepas menang 3-1 pada aksi Liga Super Malaysia 2019, sebentar tadi.

Perak yang masih segar dengan kejayaan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Shopee Piala FA hanya memerlukan enam minit bagi membuka tirai jaringan aksi di Stadium Perak, Ipoh itu.

Berpunca daripada kesilapan Ahmad Sukri Ab Hamid yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, Raianderson Da Costa Morais (Careca) dengan tenang mengawal bola sekaligus melepaskan rembatan untuk membolosi Ahmad Asyraaf Omar di gawang PKNP FC.

Jaringan tersebut nyata meningkatkan tempo serangan Perak yang hampir menambah jaringan berselang enam minit kemudian.

Hantaran lintang hasil gerakan solo Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi bagaimanapun gagal ditanduk kemas Ronaldo Henrique Silva walaupun beliau memiliki ruang yang cukup luas.

Rembatan Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-12 mencemaskan kubu Perak namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kanan.

Selepas itu, Perak kembali memperkemaskan aksi dengan menjelmakan dua peluang terbaik dalam usaha menambah jaringan.

Bagaimanapun usaha tersebut digagalkan ketumpulan penyudah daripada Mohd Nor Hakim Hassan dan Shahrel Fikri.

Anak buah Mehmed Durakovic menjadikan kedudukan 2-0 selepas Ronaldo berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin apabila Amani Santos Aquinaldo menjatuhkan Nor Hakim dalam kawasan penalti.

Ketinggalan dua gol tidak mematahkan semangat juang PKNP FC untuk terus memberikan tekanan buat Perak.

Mereka hampir memperoleh jaringan pada minit ke-36 tetapi Nazirul Naim Che Hashim berjaya menyelamatkan bola percubaan Giancarlo Lopes Rodrigues di atas garisan ketika penjaga gol, Khairul Amri Salehuddin sudah tertewas.

Kehampaan tersebut ditebus seminit kemudian apabila Yashir Armando Pinto Islame mengambil kesempatan kesilapan Mohamad Idris Ahmad yang cuba mengeluarkan bola dalam kawasan penalti Perak tetapi terkena tiang gol.

Yashir yang meluru pantas berjaya menanduk masuk bola bagi merapatkan kedudukan.

Ketika PKNP FC dilihat berhempas pulas untuk menyamakan kedudukan selepas aksi babak kedua bersambung, Perak menambah jaringan ketiga pada minit ke-70.

Sepakan percuma diambil Nazirul Naim dari sebelah kiri pintu gol berjaya dikuis masuk Careca untuk sekali lagi mengecewakan Ahmad Asyraaf.

Kemenangan 3-1 itu meletakkan Perak di tangga ke-5 saingan Liga Super dengan mengumpul 17 mata hasil tiga kemenangan, lapan keputusan seri dan dua kekalahan.

PKNP FC pula kekal di tangga ke-10 dengan 11 mata dikumpul selepas mengharungi 13 perlawanan.

Kredit foto: PKNP

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN