Cabaran Pemain Bola Sepak Yang Berpuasa Ketika Ramadan

Mempersiapkan pemain ketika bulan ramadan adalah satu cabaran kepada para jurulatih. Satu kaedah dan panduan ringkas telah dikeluarkan oleh beberapa institussi dan pusat Sains Sukan.

Salah satu daripadanya adalah kajian oleh pusat Sains Sukan Taylor Francis Institute, Mereka membandingkan kemampuan pemain yang berpuasa dengan pemain yang tidak berpuasa. Para pemain ini diberikan makanan seperti biasa yang mereka makan ketika latihan biasa. Cuma untuk yang berpuasa mereka diberikan ketika sahur.

Para pemain memberikan rekod jam tidur, ‘mood’ serta persiapan mereka sebelum perlawanan. Seterusnya, ketika ujian dijalankan, para pemain juga akan diteliti dari segi fokus mereka di atas padang.

Mereka berlatih dalam masa seminggu seperti biasa dengan pemain yang tidak berpuasa. Hasil daripada kajian mereka mendapati: Pemain yang berpuasa akan berlari lebih rendah di atas padang. Untuk larian kadar rendah ataupun jogging, berlaku penurunan sekitar 5.8% daripada pemain yang tidak berpuasa.

Manakala untuk larian sederhana laju sekitar, mereka akan akan 12% lebih rendah daripada pemain yang tidak berpuasa.

Sementara untuk ujian lari pada kadar sangat laju, para pemain menunjukkan rekod lebih rendah sekitar 20.1% berbanding dengan pemain yang berpuasa.

Kajian NCBI

Satu lagi kajian oleh US National Library of Medicine National Institutes of Health (NCBI), turut menjalankan kajian tentang impak puasa kepada pemain bola sepak. Namun mereka menggunakan data lebih lengkap dengan kajian menggunakan 55 pemain profesional Algeria. Kajian ini dilakukan di Algeria pada tahun 2004.

Hasil daripada kajian mereka mendapai kelajuan, kelincahan, kepantasan menggelecek dan ketahanan pemain semuanya akan menjadi lebih rendah. Hampir 70% pemain berhadapan dengan impak yang krtitikal.

Hasil daripada kajian mereka mendapati, semua ini berlaku kerana pemain terpaksa mengubah jadual tidur mereka. Pemain profesional biasanya tidur awal. Pada bulan ramadan mereka boleh tidur awal namun akan bangun awal pagi sebelum matahari terbit.

Seterusnya NCBI mendapati ramai pemain mulai mengambil makanan yang tidak sepatutnya diambil terutama sekali makanan yang berlebihan gula. Badan pemain profesional sangat sensitif untuk bertindak balas ke atas perkara seperti ini.

Kesan yang turut menimpa adalah kepada fisiologi serta impak kepada hormon, metabolisme serta kelakuan para pemain.

Hal ini kerana para pemain biasanya akan mengurangkan aktiviti fizikal. Ia memberikan kesan kepada kadar denyutan jantung mereka. Ini kerana bola sepak sukan yang memerlukan para pemain sentiasa bersedia untuk melakukan kerja secara intensif.

Ujian di atas padang dilakukan 2 hari selepas perlawanan. Fokus diberikan kepada keupayaan pemain bergerak dan melompat. Ujian lain termasuk ujian 4 garisan, ujian gelecekan untuk menguji tahap skil mereka.

Ujian pecutan dibuat bagi jarak 20 meter untuk setiap 5 minit. Rekod mereka akan dibandingkan di antara; rekod 2 minggu selepas berpuasa, pada akhir bulan puasa dengan 2 minggu sebelum berpuasa.

Daripada 55 pemain ini, 48 berhadapan dengan isu kecederaan dan sakit. Namun mereka mendapati berat badan pemain tidak meningkat kerana berpuasa.

Hasil daripada kajian mereka mendapati, 2 minggu selepas berpuasa, para pemain-pemain ini mulai menuju ke arah prestasi terbaik mereka.

Ini pula soalan yang ditanya kepada para pemain tersebut berkenaan dengan rutin harian mereka.

Para pemain sendiri mengakui ada merasa impak yang ketara ketika bulan puasa. Seterusnya terdapat juga tabiat buruk pemain sendiri yang mengambil makanan lewat malam selepas mereka berbuka puasa. Ini mungkin kerana mereka mengambil masa pada bulan ramadan untuk bertemu dengan rakan-rakan.

Paling mengejutkan, ramai pemain ini mengambil banyak minuman ringan ketika bulan puasa. Ini mungkin kerana mereka tidak dipantau dengan teliti pada bulan ramadan. Dalam erti kata lain, kelab berikan mereka peluang untuk lebih sosial.

NCBI juga menasihatkan agar petugas kesihatan pasukan supaya sentiasa berhubung dengan pemain kerana ada sesetengah pemain menyembunyikan kesakitan dan perubahan fizikal mereka.

Impak yang ketara

Daripada 2 kajian ini mendapati impak bulan puasa sangat mencabar kepada para pemain. Namun ramai pemain profesional tetap berpuasa kerana ianya soal tuntutan agama.

Kajian ini telah banyak digunakan oleh jurulatih lain supaya mereka mencari kaedah untuk membolehkan para pemain mereka berpuasa.

Palestine dan Oman kendalikan pemain berpuasa

Pada 2017, BBC telah mengeluarkan satu artikel berkenaan dengan cara pegawai pasukan Palestine dan Oman juga telah mengubah beberapa rutin latihan dan juga diet yang melibatkan para pemain. Ini kerana pemain-pemain kini ada jadual makan yang berbeza.

Pegawai Fisioterapi Palestine, Bader Agel berkata:

“Kami menasihatkan pemain agar minum sekurang-kurangnya 3 liter air ketika berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan para pemain dari dehidrasi ketika bermain bola sepak.”

“Jika pada bulan biasa, para pemain dibekalkan dengan buffet yang kami sediakan. Tetapi pada bulan puasa, kami terpaksa mengambil inisiatif untuk memantau pemakanan para pemain seorang demi seorang.”

“Kami memberikan mereka satu set pinggan khas untuk mengelakkan mereka daripada terlebih makan.”

“Para pemain diberikan jumlah kabohidrat dengan memakan nasi pada paras yang sepatutnya. Seterusnya adalah pemberian protein dengan sayur-sayuran hijau atau salad yang secukupnya.”

Beliau juga memberitahu yang para pemain akan diarahkan untuk masuk ke gym satu jam sebelum iftar. Mereka akan diarahkan untuk makan serta merta sebaik sahaja masuk waktu iftar.

Ini untuk merangsang proses metabolisma di dalam badan mereka. Tambah beliau lagi:

“Paling penting kami tidak mahu mereka terlalu malas sepanjang hari berpuasa.”

“Kami mahu mereka untuk mengelak daripada tidur berlebihan. Dan itulah masalah paling biasa para pemain pada bulan puasa.”

Palestine biasanya mengadakan latihan persedian pada 11 malam. Ianya selepas para pemain kembali semula ke hotel dan melalui proses mandi ais. Selepas latihan mereka akan diberikan makanan sahur pada pukul 2.45 pagi.

Ini bagi mengelakkan impak para pemain bangun pagi dan terus makan.

Jurulatih B-23 tahun Maghribi, Pim Verbeek juga melalui cabaran yang sama dalam menguruskan pasukan beliau sepanjang bulan Ramadan. Mereka akan mengubah bebanan pada latihan.

Beliau berkata: “Sudah pastinya ia akan berbeza dengan hari-hari pada bulan yang lain. Ini kerana, dalam bulan Ramadan, pasukan anda hanya akan berlatih sekali sehari. Pada kebiasaannya mereka akan berlatih 2 kali sehari.”

“Sesi latihan pada sebelah malam kami perlu dirancang sebaiknya. Kami perlu menyimpan tenaga untuk hari perlawanan.”

Kapten legenda Oman, Ali Al-Habsi – setuju dengan sepak mula yang lewat pada bulan Ramadan. Ini kerana, ia memberikan banyak ruang kepada badan mereka lebih rehat dan mencerna selepas berpuasa seharian.

Ali Al-Habsi mengakui beliau terpaksa membuat keputusan untuk tidak berpuasa ketika perlawanan play-off EPL tempoh hari kerana perlawanan dilangsungkan pada siang hari.

Beliau berkata, itulah kali pertama beliau terpaksa untuk tidak berpuasa. Sebelum ini beliau sudah bermain di banyak kelab di Eropah termasuk Lyn Oslo, Bolton Wanderers, dan Wigan.

Beliau sentiasa berpuasa walaupun dalam perlawanan pada siang hari. Ali Al-Habsi memberitahu yang beliau tidak pernah dipaksa untuk tidak berpuasa oleh kelab. Pilihan di tangan beliau sendiri.

Mungkin kerana usianya yang sudah semakin lanjut membuatkan beliau memilih untuk tidak berpuasa pada perlawanan tersebut.

Rutin pemain-pemain Palestine agak berbeza dengan Oman. Ini kerana 4 daripada mereka lahir di luar Palestin dan bukan bergama Islam. Biasanya mereka beragama Kristian.

Untuk pemain-pemain yang tidak berpuasa ini, rutin mereka adalah seperti biasa. Mereka tidak berkongsi bilik hotel dengan pemain yang berpuasa kerana jadual makan, dan gym mereka adalah seperti biasa.

Mereka mengakui agak bosan kerana rutin mereka berbeza dengan rakan-rakan yang lain. Mereka berlima biasanya menghabiskan masa di gym untuk ‘membunuh masa.’

Ada juga yang mengikut rakan-rakan mereka berpuasa. Berjaga sehingga sahur dan tidur pada siang hari. Ketika sahur dan berbuka puasa adalah masa untuk para pemain serta pegawai pasukan bergurau dan bercerita dengan satu sama lain.

Menjelang hari perlawanan pada Selasa, rutin harian mereka sedikit diubah. Berikut adalah jadual pemain-pemain Palestine  ketika itu.

Isnin – 12 Jun 2017

7.45pm: Iftar dengan makanan pada kuantiti tidak terlalu banyak. Kurma dan air kosong dijamah dahulu. Diikuti dengan sup sayur campur atapun freekeh.

Hidangan utama adalah ayam bakar, nasi dan fattoush (salad dengan roti) ataupun salad Caesar.

9:00pm: Pemain mengambil air secukupnya sebelum latihan

11:00pm: Latihan bermula

Tengah malam: Latihan berakhir dan para pemain diarahkan minum air secukupnya sementara menunggu sahur.

Selasa 13 Jun 2017

2:00am: Sahur selepas mandi. Sahur dalam bentuk buffet. Pemain akan memilih mana-mana hidangan dari jenis buah-buahan segar, yoghurt, corn flakes, telur rebus, minyak zaitun, za’atar, roti, dan jus.

10:00am: Sarapan pagi untuk pemain-pemain yang tidak berpuasa

3:00pm: Pemain yang tidak berpuasa makan tengah hari (lunch)

7:45pm: Iftar. Sebelum perlawanan lewat malam, pemain diberikan hidangan dalam pinggan kecil, ayam dan spaghetti. Buah-buahan sebagai pencuci mulut.

9:15pm: Keluar dari hotel

9:30pm: Pemain tiba di Stadium Faisal Al-Husseini

11:00pm: Sepak mula

Apa yang dilakukan oleh Palestine ini telah banyak diamalkan di beberapa negara lain yang majoritinya berpuasa, seperti Arab Saudi, UAE, dan Qatar.

Negara-negara ini boleh dikatakan pakar dalam menguruskan pemain berpuasa. Mereka sendiri pernah beraksi di Piala Dunia, pada bulan puasa tanpa sebarang masalah dan dalam kondisi terbaik.

Rumusan

Rumusannya, para pemain yang berpuasa akan menunjukkan rekod aktiviti fizikal yang lebih rendah berbanding dengan pemain yang tidak berpuasa.

Jadi, untuk mengendalikan pemain yang berpuasa, staf kejurulatihan tidak digalakkan untuk menggunakan kaedah diet ataupun latihan yang sama dengan pemain yang berpuasa.

Seterusnya, para pemain perlu berdisiplin ketika bulan puasa dan sentiasa merujuk kepada pakar kelab masing-masing berkaitan dengan pemakanan dan aktiviti seharian.

Para staf kejurulatihan pula pastinya perlu sentiasa bersiap sedia dan menyediakan jadual latihan yang terbaik bagi memastikan para pemain dapat bermain dengan prestasi terbaik yang mereka mampu pada bulan puasa.

LIVERPOOL, ENGLAND – AUGUST 12: Liverpool’s Mohamed Salah celebrates scoring his side’s second goal with Naby Keita and Sadio Mane during the Premier League match between Liverpool FC and West Ham United at Anfield on August 12, 2018 in Liverpool, United Kingdom. (Photo by Rob Newell – CameraSport via Getty Images)

Banyak negara yang liga mereka tidak berehat pada Ramadan kerana mahu mengelakkan risiko fizikal dan prestasi pemain merudum dan berisiko. Dan setiap pasukan pastinya perlu memastikan mereka ada kepakaran dalam mengendalikan bulan puasa pada musim liga berlangsung ataupun pertandingan bola sepak berlangsung.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN