Quantcast

BERITA

FAM Jemput Wakil Perdana Menteri Sertai Rombongan Ke Jepun

Semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, melakukan kunjungan hormat ke atas YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Beliau diiringi oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Kunjungan itu adalah untuk membentangkan pelan hala tuju jangka masa panjang badan induk berkenaan yang terkandung dalam F:30 termasuk perancangan projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Presint 5, Putrajaya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada YAB Tun Dr Mahathir kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM serta perancangan membina ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan yang dilengkapi tiga padang latihan, termasuk satu dalam dewan.

“Kami mengharapkan impian ini menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Hamidin dalam satu kenyataan di laman facebook rasmi FAM.

FAM kini berada pada peringkat akhir rundingan dengan pemaju untuk membangunkan ibu pejabat baharu di Presint 5.

Bangunan asal FAM di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela), tidak jauh dari Stadium Merdeka, dibina setinggi enam tingkat dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada Disember 1961 sebelum badan induk bola sepak kebangsaan berpindah ke pejabat sedia ada di Wisma FAM setinggi empat tingkat di Kelana Jaya bernilai RM1.85 juta pada 1979.

FOTO: FAM

Lawatan sambil belajar ke Jepun

Susulan perjanjian persefahaman (MoU) di antara FAM dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) yang ditandatangani di Bangunan Perdana Putra, 5 April lalu, Hamidin turut menjelaskan pihaknya ingin menjemput wakil daripada Perdana Menteri untuk menyertai mereka dalam satu lawatan sambil belajar ke Jepun.

“Selain itu, saya bagi pihak FAM mempelawa wakil pejabat Perdana Menteri untuk menyertai rombongan FAM ke Jepun pada satu tarikh yang akan ditetapkan,” kata Dato’ Haji Hamidin.

Bulan lalu Dato’ Haji Hamidin membawa Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima, untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir sebelum menandatangani MoU dengan Tashima di Bangunan Perdana Putra.

Majlis tandatangan MoU tersebut turut disaksikan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John dan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia serta menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!