Quantcast

LIGA MALAYSIA

MSL 2019: PJ City Bangkit Sumbat 5 Gol Di Babak Kedua, Tewaskan Terengganu FC 5-3

Penuh inspirasi! Kebangkitan luar biasa dipamerkan oleh PJ City FC. Mungkin ini comeback of the year dalam MSL musim ini.

Pasukan baru naik ke Liga Super Malaysia (MSL) – PJ City FC berjaya bangkit menghasilkan lima gol di babak kedua untuk menundukkan Terengganu FC dengan keputusan 5-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Ketinggalan tiga gol di babak pertama di Kuala Terengganu tidak menghalang pelawat, PJ City FC untuk kekal fokus dan akhirnya menamatkan perlawanan dengan meraih 3 mata berharga.

Terengganu FC turun dengan memberikan debut kepada dua pemain iaitu Wan Amirzafran dan Nabil Latpi serta berjaya mendahului aksi seawal minit ke-11 hasil jaringan Kipre Tchetche – jaringan ke-5 peribadinya untuk saingan liga musim ini.

Selain itu, jaringan kaki kirinya itu juga telah membolehkannya meledak dalam tiga perlawanan liga berturut-turut buat Terengganu FC selepas kemarau gol hampir separuh musim.

Tuan rumah dilihat terus mengasak dan hasilnya dua gol berjaya dihasilkan di minit ke-18 dan ke-19 hasil jaringan Nabil Latpi dan juga Ashari Samsudin – kali pertama musim ini menyaksikan Muhaimin Mohamad melepaskan tiga gol dalam satu perlawanan.

Kipre Tchetche, Terengganu FC

FOTO: MFL

Sekali sekala PJ City cuba mengasak apabila Sang Penyu dilihat mula mengendurkan penguasaan namun pelawat gagal menguji sepenuhnya Suffian Ab Rahman di gawang. Antaranya percubaan jarak jauh Washington Brandao yang tersasar di minit ke-31.

Selesa mendahului dengan 3 gol, Terengganu FC dilihat mula memperlahankan rentak perlawanan namun penguasaan bola masih milik mereka. Aksi longgar pelawat membantu tuan rumah lebih tenang mendahului aksi dan mengawal perlawanan.

The Pheonix bangkit menghasilkan gol menerusi jaringan Elizeu Araujo selepas sepakan percuma Bae Beum-gun tidak berjaya dikeluarkan dengan baik oleh barisan pertahanan tuan rumah hanya selepas aksi babak kedua bermula empat minit.

PJ City seakan-akan membalas dendam atas apa yang terjadi kepada mereka di babak pertama apabila berjaya meledak dua gol lagi untuk mengikat keputusan, hasil kuisan mudah Pedro Henrique di depan gol dan ledakan padu Washington Brandao.

Jaringan Pedro Henrique telah dihasilkan di minit ke-57, sementara jaringan sulung pemain import baharu, Washington Brandao pula dijelmakan seminit kemudian. Terengganu FC dilihat tersentak daripada lamunan yang panjang selepas selesa mendahului 3 gol.

Elizue, PJ City

FOTO: MFL

Peluang terbaik Sang Penyu hadir di minit ke-76 apabila Shahrul Aizad melepaskan sepakan deras daripada luar kotak penalti pelawat namun tersasar daripada gawang Muhaimin Mohamad.

Seminit kemudian, Zamri Ramli yang baru masuk menggantikan Aizulrudzwan Razali di babak kedua telah menjaringkan gol ke-4 perlawanan dan gol pendahuluan PJ City hasil rembatan jarak dekatnya berhasil mengegar gawang tuan rumah.

Pedro Henrique terus menambah derita buat tuan rumah apabila tandukannya berjaya menewaskan Suffian Ab Rahman buat kali ke-5 pada minit ke-80 – jaringan keduanya pada malam ini selepas menerima hantaran lintang Washington Brandao.

terengganu fc, pj city

Kemenangan ini membolehkan PJ City mengumpul 14 mata, terus menjarakkan diri daripada kelompok bawahan liga, sementara Terengganu FC pula hanya dipisahkan 2 mata dengan The Pheonix di kedudukan ke-8 – satu kedudukan di atas mereka.

Terengganu FC: Suffian Ab Rahman (PG), Igor Zonjic, Wan Amirzafran, Hasnizaidi Jamian (80′ Kamal Azizi), Khairul Anwar, Thierry Bin, Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov, Nabil Latpi (40′ Shahrul Aizad), Ashari Samsudin (68′ Syamim Yahya), Kipre Tchetche

PJ City FC: Muhaimin Mohamad (PG), Aizulridzwan Razali (54′ Zamri Ramli), Annas Rahmat, S. Subramaniam (K), P. Rajesh, Elizeu Araujo, Bae Beom-geun, K. Thivandran (41′ R. Barathkumar), Serginho, Pedro Henrique (85′ Safee Sali), Washington Brandao