Selain daripada Falcao yang dilabelkan sebagai ‘raja’ futsal dunia, nama Ricardinho juga sering menjadi siulan peminat sukan lima sebelah itu termasuklah di tanah air.
Ricardinho atau nama sebenarnya Ricardo Filipe da Silva Braga merupakan pemain kelahiran bandar Valbom yang terletak di daerah Gondomar, Portugal.
Ketajaman penyudah, kemahiran individu memukau serta kualiti hantaran kelas dunia yang dimiliki sudah cukup untuk membayangkan kehebatan pemain berusia 33 tahun itu.
Walaupun hanya berketinggian 164 cm, Ricardinho memiliki tubuh tegap yang menjurus kepada kekuatan fizikal dimilikinya ketika beraksi.
Karier futsal Ricardinho bermula pada usia 17 tahun apabila beliau beraksi bersama pasukan tempatan, Gramidense.
Berhijrah ke Benfica dan terus mencipta nama
Hanya selepas setahun bersama Gramidense, Ricardinho memilih untuk berhijrah ke Benfica – kira-kira hampir tiga jam perjalanan kereta dari Gondomar.
Sebagai antara pasukan gergasi futsal di Portugal, haluan Ricardinho itu dilihat satu keputusan yang tepat apabila beliau berjaya membantu Benfica menjuarai Liga Futsal Portugal sebanyak lima kali (termasuk ketika dipinjamkan semula ke Benfica pada musim 2011/12).
Selain itu, beliau juga pernah beraksi di Jepun bersama Nagoya Oceans dan kemudiannya pernah juga dipinjamkan ke CSKA Moscow dan Benfica.
Di Jepun, Ricardinho membantu Nagoya Oceans menjuarai saingan Liga Futsal Jepun pada musim 2010/11 dan 2012/13.
Ricardinho kemudiannya berkelana ke Sepanyol bagi menyertai Inter Movistar bagi menghadapi musim 2013/14.
Kehadiran Ricardinho nyata menambah sengat buat Inter Movistar apabila kelab tersebut berjaya meraih kejuaraan liga bagi lima musim berturut-turut.
Ricardinho dan Inter Movistar turut meraih mahkota kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah Futsal UEFA pada musim 2016/17 dan 2017/18.
Hajat Ricardinho untuk mencatatkan kejuaraan hatrik terbantut pada musim ini apabila Inter Movistar tunduk pada peringkat separuh akhir ketika berdepan pasukan juara, Sporting CP, beberapa hari lalu.
Pencapaian peribadi yang cukup hebat
Terlalu banyak kejayaan peribadi yang dikecapi pemain yang telah beraksi lebih daripada 100 kaps antarabangsa buat skuad kebangsaan Portugal ini.
Kehebatannya mempamerkan ketangkasan ketika beraksi telah menobatkan Ricardinho selaku Pemain Futsal Terbaik Dunia bagi tahun 2010, 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.
Dalam pada itu, Ricardinho juga memenangi anugerah kasut emas dalam saingan Piala Dunia Futsal 2016 setelah berjaya menjaringkan 12 gol sepanjang kempen di Colombia itu.
Menjadikan Falcao sebagai idola
Ricardinho yang mempunyai kaki kiri yang berbisa itu begitu memuja kehebatan yang dimiliki Falcao sehinggakan beliau mengabadikan nama lagenda futsal dunia itu pada kaki kirinya dengan menulis ” The Number One Falcao 12”.
”Ketika berusia 13 tahun, saya begitu kagum terhadap Alessandro Rosa Vieira (Falcao) yang mempunyai kualiti yang begitu hebat di peringkat antarabangsa dengan kemahiran yang sangat bagus dan keupayaan menghasilkan jaringan yang sangat menakjubkan.” Ujar Ricardinho dalam satu sesi temubual bersama wartawan.
Beliau turut mengakui kehebatan yang dimiliki idolanya itu membuatkan dirinya bagi berusaha keras untuk menjadi seperti Falcao dengan menuruti kemahiran individu yang dilakukan sebaik sahaja tamat sesi persekolahan.
”Selepas waktu persekolahan saya akan ke taman pada jam 6 petang hingga 9 petang untuk melakukan apa yang dilakukan Falcao sehingga saya berjaya menguasai kemahiran tersebut.”
https://www.youtube.com/watch?v=VJpvfjVxfcA