Quantcast

BERITA

Shopee Piala FA: Dollah Gesa Pahang Bangkit Di Stadium Darul Makmur

Semalam skuad Terengganu FC mencipta kejutan apabila menewaskan juara bertahan, Pahang dengan jaringan 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Ia adalah kekalahan pertama skuad Tok Gajah musim ini setelah menampilkan aksi yang konsisten dalam saingan Liga Super. Bagaimanapun, bekalan satu gol yang berjaya dibawa pulang ke Kuantan itu belum menutup peluang mereka untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini.

Mengulas mengenai perlawanan itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui pemain pertahanan pasukannya melakukan kesilapan mudah yang membawa kepada dua gol Terengganu.

“Saya berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan barisan pemain Pahang. Cuma kami melakukan kesilapan mudah yang memberikan dua gol kepada Terengganu tetapi kami bangkit selepas itu,” katanya dalam Stadium Astro.

Tuan rumah menjaringkan gol pembukaan melalui bekas pemain Pahang, Malik Mat Ariff dan kemudian menambahkan jaringan melalui penyerang import mereka, Kipre Tchetche pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, pemain import Pahang dari Brazil, Ze Eduardo menjaringkan gol berharga Pahang menerusi tandukan kemas pada minit ke-58 hasil hantaran daripada Matthew Davies.

Namun begitu, Dollah masih belum berpuas hati dengan prestasi Eduardo kerana beliau beraksi dibawah keupayaan sebenar.

“Ketiadaan (Dickson) Nwakame menyebabkan jentera serangan Pahang ketiadaan naluri pemusnah. Saya mahukan lebih lagi daripada dia (Eduardo). Walaupun menjaringkan gol, saya beritahu dia perlu tambahkan usaha,” tambah Dollah.

FOTO: Pahang FA

Dollah turut menggesa anak buahnya bangkit pada suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur pada 10 Mei ini bagi memburu tiket ke peringkat separuh akhir.

“Dah lama kami tak tunjuk corak permainan seperti ini, sebaliknya keputusan tidak berpihak kepada Pahang. Dengan kedudukan agregat ini, saya percaya pastinya pemain-pemain akan memberikan lebih dari 100 peratus, minggu depan,” jelas Dollah.