Bekas pertahanan Real Madrid, Alvaro Arbeloa menyatakan bahawa dirinya tidak sabar menantikan saat-saat Lionel Messi memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak.
Arbeloa merupakan produk dari akademi Real Madrid. Beliau mula berperanan dalam skuad utama selepas kembali direkrut dari Liverpool pada tahun 2009.
Tujuh musim bersama Real Madrid, Arbeloa telah melakukan sebanyak 237 penampilan dalam semua pertandingan.
Arbeloa sendiri mengakui kehebatan yang dimiliki Messi yang dianggapnya sebagai pemain terbaik bola sepak sepanjang zaman.
Namun disebalik itu, Arbeloa meluahkan bahawa dirinya tidak gembira melihat aksi ‘magis’ bintang Argentina itu bersama Barcelona.
“Saya sangat menghormati Barcelona, mereka adalah pasukan hebat dengan pemain hebat seperti Lionel Messi,” ujar Arbeloa.
“Dia [Messi] sangat bagus, namun, saya tidak gembira melihat aksinya dan selama manapun ia tidak akan terjadi. Saya berharap tidak lama lagi, dia akan bersara. Saya menghitung hari [hingga Messi bersara],” kata Arbeloa.
Bukan Anti-Barca
Bercakap dalam sebuah rancangan TV tempatan, El Chiringuito, beliau yang kini berusia 36 tahun itu bagaimanapun menegaskan bahawa dirinya bukan anti kepada pasukan Barcelona.
“Saya bukan anti-Barcelona. Saya selalu ingin mereka kalah kerana perkara itu memberikan kesan kepada Real Madrid.”
“Penyokong Real Madrid tidak anti-Barcelona, tetapi saya berharap mereka akan kalah dalam perlawanan esok,” tutur Arbeloa.
Ditanya kepadanya, apakah beliau mahu melihat Barcelona tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Ini jawab Arbeloa;
“Apakah saya ingin mereka tersingkir di Liga Juara-Juara Eropah? Sudah tentu ya, musuh [Madrid] akan berkurang satu. Barcelona selalu menjadi pasukan yang memberi tentangan, mereka pasukan hebat. Saya selalu ingin menewaskan mereka.”
Kata Arbeloa lagi, “Saya sentiasa memerhatikan aksi ‘panas’ yang berlaku dalam perlawanan El Clasico.
“Bahkan saya pernah menyaksikan tangan Zinedine Zidane berada di leher Luis Enrique.”