Urusan nampaknya belum lagi selesai.
Ketika dunia bola sepak sudah pun mengetahui mengenai nasib yang menimpa Emiliano Sala, takdir untuk juruterbang David Ibbotson masih belum lagi diketahui.
Menurut laman The Guardian, pihak keluarga Sala mahu pencarian juruterbang yang bertanggungjawab membawa pemain itu dari Nantes ke Cardiff diteruskan.
Mereka berharap agar pihak berkuasa akan meneruskan pencarian walaupun urusan mengenai pemain bola sepak itu sudah menemui jawapannya.
“Salam takziah buat keluarga David Ibbotson, kami berharap agar pihak berkuasa akan melakukan yang terbaik untuk mencari beliau.”
Pihak keluarga Sala menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak diatas sokongan yang diberikan dikala mereka menghadapi waktu sukar sebegini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih diatas simpati dan sokongan dikali kami menghadapi waktu paling sukar dalam hidup kami.”
“Melihat seluruh dunia bersama-sama untuk menyokong kami dalam mencari Sala adalah satu perkara yang amat bermakna.”
“Terima kasih kepada anda, kami kini boleh meratapi pemergian anak kami, adik kami.”
Cardiff City kini mengatakan yang mereka menawarkan peluang untuk menampung kos membawa pulang mayat Sala pulang semula ke Argentina.
Sementara pihak Nantes telah membuat keputusan untuk menamatkan penggunaan jersi bernombor 9 untuk menghormati pemergian pemain itu.
Para pemain di Premier League minggu ini akan menyarung lilitan lengan berwarna hitam dan sesi tafakur selama seminit akan diadakan untuk menghormati peristiwa ini.