Perlis dibelenggu dengan masalah di luar padang sebelum sepak mula musim ini. Para pemain mengadu belum mendapat gaji untuk 2 bulan.
Beberapa minggu yang lalu pasukan Perlis dianggap pasukan pilihan dengan senarai pemain yang mereka dapatkan dalam jendela perpindahan.
Safee Sali turun mengetuai pasukan Perlis yang turut diperkuatkan beberapa nama besar dalam Liga Malaysia seperti Azmi Muslim, Sharil Saari dan Amiridzwan Taj.
Namun malangnya, berhadapan dengan pasukan bukan pilihan – UKM FC, pasukan Singa Utara gagal mencatatkan kemenangan.
Faiz Hanif Adnan meletakkan UKM FC di hadapan pada minit ke-21. Pada separuh masa kedua, UKM FC menggandakan pendahuluan mereka kepada 2-0 menerusi jaringan Wan Mohammad Faiz pada minit ke-55.
Perlis merapatkan jurang gol menerusi pemain import mereka – Valci Junior pada minit ke-61.
UKM berjaya bertahan dengan baik untuk memastikan mereka memulakan kempen MPL2019 dengan cemerlang. Perlawanan berakhir dengan kemenangan bersejarah dicatatkan UKM FC.
Keputusan masa penuh perlawanan LP1 malam ini:
UKM FC 2️⃣-1️⃣ Perlis#LigaPremier2019 pic.twitter.com/OBIpERq46s
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 3, 2019
Selepas ini, Perlis akan berhadapan dengan sebuah lagi pasukan ‘universiti’ iaitu UiTM FC. Manakala UKM FC akan bermain menentang JDT 2 di tempat lawan.