5 Pemain Yang Pernah Mewakili Arsenal Dan Juventus Sepanjang Karier Mereka

Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey sah menyertai Juventus musim depan dengan kontrak berdurasi empat tahun beserta bayaran £400,000 (RM1.6 juta) seminggu. Bayaran tersebut sekaligus menjadikan Ramsey sebagai pemain bola sepak Britain berpendapatan paling lumayan.

Keputusan Ramsey menyertai The Old Lady membuka peluang buatnya untuk bergandingan dengan Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala di Turin nanti. Tetapi tahukah anda, selain daripada Ramsey, ada lima lagi bintang bola sepak terkenal yang pernah mewakili Juventus dan Arsenal sepanjang karier profesional mereka?

Siapakah mereka? Berikut merupakan 5 pemain yang pernah beraksi bersama Juventus dan Arsenal:

1. Thierry Henry

Sebelum Henry berstatus pemain bintang di Arsenal, beliau terlebih dahulu mewakili Juventus ketika usianya 22 tahun pada 18 Januari 1999. Marcello Lippi berjaya membawa Henry dari AS Monaco dengan nilai perpindahan sebanyak £10.5 juta. Kehadiran pemain seperti Didier Deschamps, Zinedine Zidane dan Jocelyn Blanchard dalam skuad Juventus pada ketika itu memberi pengaruh besar untuk Henry mengembangkan kariernya di Turin.

Di Juventus, Henry bermain di posisi sayap, namun beliau hanya tampil dalam 19 perlawanan dan menjaringkan 3 gol sahaja. Kisah Henry bersama Juventus boleh dianggap sebagai tidak menjadi. Henry hanya bertahan 8 bulan di Itali sebelum berhijrah ke London untuk menyertai Arsenal dibawah kendalian pengurus Perancis, Arsene Wenger pada 3 Ogos 1999. Kita semua tahu sejarah yang dicipta Henry di Highbury selepas itu.

2. Patrick Vieira 

Mandatory Credit: Jamie McDonald /Allsport

Selain Henry, Patrick Vieira adalah salah seorang pemain Perancis yang pernah mewakili Arsenal dan Juventus. Vieira beraksi untuk Arsenal dari tahun 1996 hingga 2005, dan mencatatkan rekod jaringan sebanyak 34 gol dari 406 perlawanan.

Beliau yang pernah memikul tugas sebagai ketua pasukan The Gunners dan berjaya membantu pasukan memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (1998,2002 dan 2004). Beliau kemudian berpindah ke Juventus pada tahun 2005 dan bermain untuk kelab itu dalam 42 perlawanan selama satu musim.

3. Stephan Lichtsteiner

Pemain kebangsaan Switzeland ini direkrut oleh Arsenal pada awal musim 2018-19. Walaupun dianggap sebagai pemain berpengalaman, Unai Emery tidak meletakkannya sebagai pemain utama. Sebaliknya beliau hanya diletakkan sebagai pemain ‘backup’ kepada Hector Bellerin.

Sebelum menyertai Arsenal, pemain berusia 34 tahun itu telah mewakili Juventus dari tahun 2011 sehingga 2018. Beliau telah menghabiskan tujuh musim di Itali dengan berjaya merekodkan 15 gol dari 257 penampilan untuk Juventus. Beliau turut membantu gergasi Serie A itu memenangi tujuh gelaran Serie A berturut-turut sehingga musim lalu.

4. Wojciech Szczesny

Szczesny adalah penjaga gol berasal dari Poland yang menyarung jersi Arsenal pada tahun 2009 sehingga 2017. Beliau pada mulanya didatangkan ke Emirates sebagai perancangan jangka panjang pasukan untuk menggantikan posisi yang bakal ditinggalkan Jens Lehmann. Szczesny kemudian menjadi penjaga gol pilihan pertama dan memainkan peranannya dalam membantu Arsenal memenangi Piala FA pada musim 2013/14 dan 2014/15 serta Piala Perisai tahun 2015.

Beliau kemudiannya dipinjamkan ke AS Roma dari 2015 hingga 2017 sebelum direkrut oleh Juventus pada 2017. Penjaga gol berusia 28 tahun itu mendapat tempat dalam kesebelasan utama Juventus dan berjaya membantu kelab itu memenangi satu gelaran Serie A pada musim 2017/18, Piala Coppa Italia 2017/18 dan Supercoppa Italiana pada musim 2018/19.

5. Nicolas Anelka

Nicolas Anelka dikenali antara pemain profesional yang paling  banyak menyertai kelab yang berbeza sepanjang 18 tahun karier profesional bergelar pemain bola sepak. Arsenal dan Juventus adalah antara kelab yang pernah diwakilinya. Penyerang Perancis ini menyertai skuad kendalian Arsene Wenger pada tahun 1997. Bersama Arsenal, Anelka berjaya mencetak 28 gol dari 90 penampilan.

Anelka turut berjaya membawa Arsenal memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris pada musim sulungnya di London, sebelum berpindah ke Real Madrid pada 1999. Beliau kemudian bermain untuk beberapa kelab seperti Liverpool, Paris Saint-Germain(PSG), Manchester City, Fenerbahce SK, Bolton Wanderers, dan Chelsea sebelum berpindah ke China menyertai Shanghai Greenland Shenhua dalam saingan Liga Super China pada tahun 2012, sebelum pernah kembali menyertai West Bromwich Albion.

Penutup
Mampukah Aaron Ramsey mencipta nama bersama Juventus pada musim hadapan? Atau adakah Ramsey akan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan barisan bintang Juventus seperti Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala?

Itu perkara yang harus kita nantikan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN