Ketika nama Gonzalo Higuain semakin jelas kedengaran akan berhijrah ke Chelsea, pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso mengharapkan penyerang itu dapat kekal dengan lebih lama di Milan.
Penyerang kelahiran Argentina yang dipinjamkan daripada Juventus itu telah menjaringkan enam gol buat AC Milan dalam saingan Serie A selepas beraksi dalam 15 perlawanan.
Walaupun enam gol itu dilihat bukanlah satu prestasi hebat dipamerkan Higuain, Gatusso masih menagih khidmat pemain yang berusia 31 tahun tersebut untuk terus kekal di San Siro.
”Higuain? Gonzalo telah mempersembahkan aksinya dengan baik.”
”Saya berharap dia dapat kekal disini dengan lebih lama yang mungkin.”
”Sekiranya ia tidak seperti yang diharapkan, kita akan melihatnya. Ia tidak akan menjadi masalah buat saya.”
Sebelum ini, pengendali Chelsea, Maurizio Sarri memberikan bayangan mahu merekrut jentera serangan baharu selepas Alvaro Morata dan Olivier Girous gagal memainkan peranan selaku penyerang dengan baik.
Beliau juga kelihatan berminat untuk kembali bekerjasama dengan Higuain seperti di SS Napoli bagi menyelesaikan masalah penyudah yang sedang dihadapi Chelsea walaupun sejak kehadiran Sarri, corak permainan The Blues semakin menunjukkan peningkatan.
Gonzalo Higuain terpaksa dipinjamkan ke AC Milan selepas Juventus membawa masuk bintang dunia, Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas lalu.