Quantcast

BERITA

TERKINI: JDT Sah Buka Pintu Rundingan Untuk Ikat Syazwan Andik

Juara Liga Super Malaysia (MSL) selama lima musim berturut-turut, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim sebentar tadi melalui satu kenyataan mengesahkan mereka akan membuka pintu rundingan untuk mendapatkan khidmat bek kiri pasukan kebangsaan, Syazwan Andik.

Perkara itu disahkan melalui satu kenyataan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest sebentar tadi.

“Berikutan penamatan kontrak Syazwan Andik dengan Kuala Lumpur, yang menjadikannya seorang pemain ejen bebas, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mendapatkan pemain tersebut.

“Kami akan berbincang dengan Syazwan sama ada beliau mahu kembali ke Harimau Selatan. Kelab berharap dapat mencapai persetujuan bersama Syazwan secepat mungkin,” ujar kenyataan tersebut yang turut dikongsi melalui rangkaian media sosial kelab tersebut sebentar tadi.

Foto: JST

Semalam Syazwan Andik menerusi instagram beliau tampil dengan penjelasan ringkas dan padat mengenai status terkini beliau – setelah wujud khabar angin beliau ingin keluar dari Kuala Lumpur.

Melalui kontrak beliau bersama Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), beliau menyatakan menggunakan klausa 8.7 untuk mengaktifkan terminasi kontrak beliau.

Menurut Syazwan: KLFA dan beliau mencapai persetujuan – sebelum ini – jika ada tunggakan gaji, pemain ini berhak menggunakan klausa tersebut untuk meminta penamatan kontrak.

Ini bermakna Syazwan Andik menamatkan kontrak selepas 2 kali tidak dibayar gaji iaitu pada November dan Disember 2018.

Syazwan berkata: “Saya telah menamatkan kontrak saya bersama pasukan Kuala Lumpur kerana sudah dua bulan saya tidak menerima gaji.”

“Untuk bulan November dan Disember. Terdapat satu syarat dalam kontrak saya dengan KLFA yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika saya tidak menerima gaji untuk dua bulan.”

“Saya telah memberi surat kepada Ketua Jurulatih Yusri Che Lah pada pada 9 Januari dan memberitahunya tentang hasrat saya untuk menamatkan kontrak. Saya juga telah menghantar e-mel kepada KLFA untuk menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji.”

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!