Persaingan kedua final Copa Libertadores 2018 yang terpaksa diadakan di gelanggang berkecuali akhirnya menjadi milik River Plate selepas Las Gallinas berjaya menundukkan Boca Juniors 3-1 (aggregit 5-3) di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Dua jaringan yang terhasil ketika masa tambahan selepas aksi terikat 1-1 pada 90 minit perlawanan, telah menghadiahkan skuad bimbingan Marcelo Gallardo itu mahkota kejuaraan Copa Libertadores kali ke-4 buat sejarah kelab tersebut.
Seiring dengan sejarah kehangatan aksi yang melibatkan kedua-dua pasukan yang digelar ‘Superclasico’, aksi yang ditampilkan pada perlawanan ini juga tidak kurang hebatnya.
Lapan kad kuning dan satu kad merah dilayangkan pengadil bertugas pada perlawanan ini.
Penyerang Boca Juniors, Dario Benedetto melonjakkan kegembiraan buat para penyokong mereka pada minit ke-43, setelah berjaya membuka tirai jaringan hasil gerakan solo yang melepasi kawalan dua pertahanan River Plate serta tidak melepaskan peluang untuk menewaskan penjaga gol, Franco Armani.
Sedar hanya jaringan mampu memberikan sesuatu yang diharapkan, River Plate tampil dengan lebih berbahaya pada separuh masa kedua.
Serangan yang dilancarkan membuahkan hasil pada minit ke-67 menerusi Lucas Pratto.
Menerusi satu gerakan menarik hasil larian dimulakan Ignacio Fernandez yang seterusnya melakukan ‘cutback’ untuk membuka ruang buat Pratto untuk melepaskan percubaan bagi kembali menyamakan kedudukan. Jaringan yang sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Malang menimpa Boca Juniors selepas Wilmar Barrios diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua hanya selepas dua minit masa tambahan berlangsung.
Kelebihan tersebut digunakan sepenuhnya oleh River Plate yang mencipta jaringan pendahuluan pada minit ke-109 menerusi rembatan dari luar kawasan penalti oleh Juan Quintero.
Gonzalo Martinez merentap sisa perjuangan para pemain Boca Juniors pada minit ke-120 untuk melengkapkan kemenangan 3-1 bagi mengesahkan kejuaraan Copa Libertadores 2018 menjadi milik River Plate.