Jualan tiket perlawanan akhir 1 Piala Suzuki AFF di antara Malaysia menentang Vietnam pada hari selasa ini mendapat sambutan luar biasa apabila 30,000 tiket yang dijual secara ‘online’ sudah habis dalam masa yang singkat.
Pada awalnya, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya mengumumkan akan menjual sebanyak 20,000 tiket secara online hari ini namun jumlah itu terpaksa ditambah kepada 30,000 tiket selepas mendapat permintaan yang tinggi.
Malah, waktu jualan turut dibuka 30 minit lebih awal daripada waktu sebenar seperti diumumkan oleh FAM. Menurut setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam, situasi itu berlaku kerana pihak tickethotline melakukan ujian sistem mereka.
“Atas tindakan www.tickethotline.com.my yang melakukan ujian sistemnya setengah jam lebih awal bagi jualan tiket aksi Final 1, yang sepatutnya bermula 9.00 pagi tadi, 20,000 keping tiket telah pun habis terjual dalam masa sangat singkat sebentar tadi,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Baki 10,000 tiket online akan dijual pada hari esok
Ramalingam turut mengumumkan baki jualan tiket online akan mula dijual pada hari esok sehinga habis bermula pada pukul 9.00 pagi manakala jualan secara fizikal akan dibuka pada hari Ahad ini.
“Lantaran itu, FAM mengambil pendekatan menambah 10,000 keping tiket yang akan dibuka penjualannya secara online sebentar lagi, menjadikan hanya baki 10,000 keping akan dijual secara online 9.00 pagi esok (Sabtu, 8 Disember 2018) sehingga habis kuota yang ditetapkan itu.
“Seterusnya, baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Ahad ini (9 Disember 2018). Info lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya.