Quantcast

BERITA

Gergasi Merah Bakal Sarung Jersi Joma Musim Depan

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) semalam mengumumkan penajaan jersi daripada jenama sukan antarabangsa, Joma dari Sepanyol selama 3 tahun bermula pada musim 2019.

Difahamkan tajaan yang bernilai RM2 juta setahun itu meliputi penajaan set jersi sepenuhnya untuk skuad Liga Super, skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia, skuad bawah 17-tahun, skuad futsal lelaki dan wanita termasuk set latihan.

Malah, Joma juga akan membekalkan pakaian kepada semua pengadil Liga FAS termasuk pakaian kasual perjalanan dan penajaan tunai.

Menurut David Wong yang merupakan Pengarah Urusan Ganador Marketing Sdn.Bhd. serta pengedar tunggal jenama Joma di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand berkata,

“Kami amat berbangga kerana terpilih untuk menjadi penaja pasukan Selangor yang mempunyai sejarah kejayaan yang hebat dalam industri sukan bola sepak di negara ini.

“Kami juga percaya dengan misi dan visi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj termasuk pengurusan yang baru dan dinamik, baginda mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri Selangor,” katanya seperti dipetik dalam laman web rasmi FAS.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon pula berkata pihaknya bersyukur kerana jenama antarabangsa seperti Joma sudi menaja pasukan mereka musim depan.

“Persatuan Bolasepak Selangor amat berterima kasih kepada pihak Joma kerana telah bersetuju untuk menjadi penaja Selangor dan kami berkeyakinan penyokong Selangor akan berpuas hati dengan kualiti dan harga jersi yang akan dipasarkan kepada penyokong nanti”.

Jenama Joma yang diasaskan semenjak tahun 1965 boleh didapati di lebih 70 negara dunia juga membekalkan jersi kepada 250 pasukan seluruh dunia termasuk Swansea City, Getafe, Villareal, Ukraine, Romania, dan ramai lagi.

Atlet pertama jenama Joma merupakan lagenda Sepanyol, Emilio Butragueno yang telah mengecapi pelbagai kejayaan sebagai pemain bola sepak antarabangsa.

Jersi ketiga pasukan Selangor akan diperkenalkan minggu depan

Penyokong Selangor akan dapat melihat dan membeli jersi jenama Joma ini apabila Joma memperkenalkan kit ketiga pasukan Selangor pada 16 Disember ini bersempena Hari Bola Sepak Selangor bertempat di Stadium Shah Alam.

Penyokong Selangor dijemput untuk hadir beramai-ramai kerana pelbagai aktiviti menarik telah disusun oleh pihak penganjur. Kit pertama dan kedua pula akan diperkenalkan sebelum bermulanya musim bola sepak Malaysia pada bulan Januari ini.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!