Manchester City mencatatkan kemenangan ke-13 daripada 15 aksi yang dilalui dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas berjaya menundukkan Watford 2-1 di Vicarage Road, awal pagi tadi.
Turun tanpa peledak berbisa kelahiran Argentina, Sergio Aguero memberikan peluang buat Gabriel Jesus untuk diletakkan di jentera serangan pasukan.
Sementara itu, Raheem Sterling pula hanya memanaskan bangku simpanan oleh Pep Guardiola menjelang perlawanan bertemu Chelsea hujung minggu ini.
Penjaga gol Watford, Ben Foster yang bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan yang dilancarkan Manchester City akhirnya bolos pada minit ke-40.
Jaringan tersebut terhasil berpunca daripada hantaran ke hadapan pintu gol oleh Riyad Mahred terus mencari Leroy Sane yang hanya mendada bola untuk membolosi gawang tuan rumah.
Selepas membantu kepada jaringan pembukaan tersebut, Mahrez mencetak nama selaku penjaring gol kedua berselang enam minit perlawanan bersambung.
Pemain antarabangsa Algeria itu melepaskan rembatan kaki kiri yang terus menerjah gawang tanpa dapat dijangkau Foster hasil hantaran lintang daripada Gabriel Jesus.
Abdoulaye Doucoure merapatkan kedudukan pada minit ke-85 berikutan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol yang gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Manchester City.
Gol tersebut bagaimanapun tidak mampu untuk menghalang Manchester City dari meraih kemenangan sekaligus mengumpul 41 mata setakat ini.
Berkelebihan lima mata di hadapan Liverpool yang kekurangan satu perlawanan dan akan menentang Burnley awal pagi esok.