Quantcast

BERITA

TERKINI: Yusri Che Lah Diumumkan Sebagai Jurulatih Baharu Kuala Lumpur

Persoalan mengenai nama jurulatih baharu skuad warga kota akhirnya terjawab apabila bekas pemain Perlis, Yusri Che Lah diumumkan sebagai pengendali baharu skuad itu bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang lebih mencabar.

Perkara itu diumumkan melalui laman sosial rasmi Kuala Lumpur FA sebentar tadi sekaligus menafikan kenyataan rasmi daripada Kelantan FA yang mengatakan beliau kekal bimbing skuad The Red Warriors (TRW) musim depan.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan Yusri akan terus mengendalikan pasukan itu dalam laporanĀ Berita Harian, hasil perbincangan pada 12 November lalu.

Walaubagaimanapun, Yusri hanya memberikan persetujuan secara lisan dan belum menandatangani kontrak secara rasmi. Malah, beliau menyatakan akan membuat keputusan selepas pulang dari mengerjakan umrah.

Musim ini Yusri berjaya membawa Kelantan layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia setelah pasukan itu dilanda kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super dan turut disahkan tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Yusri diberikan kepercayaan sebagai jurulatih TRW selepas dua jurulatih import pasukan itu Sathit Bensoh (Thailand) dipecat dan Fajr Ibrahim (Syria) melepaskan jawatan masing-masing pada awal dan pertengahan musim ini.

Difahamkan tindakan KAFA melantik bekas ketua jurulatih Negeri Sembilan, Jorg Steinebrunner selaku Pengarah Teknikal minggu lepas mungkin ada kaitan dengan keputusan Yusri memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Yusri mungkin tidak mahu Jorg Steinebrunner masuk campur dalam urusan kejurulatihan dalam skuad itu.

Apapun, kami di SemuanyaBOLA mengucapkan selamat berjaya kepada Yusri Che Lah dan semoga dapat membawa Kuala Lumpur mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada musim 2019.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!