Jangkaan satu perlawanan mendebarkan bakal berlangsung di antara Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) dan Puchong Fuerza meleset selepas perlawanan sekadar berakhir tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Pertembungan dua pasukan yang berada di kelompok teratas saingan kumpulan A ini begitu mendebarkan dengan gerakan-gerakan menarik berjaya dicipta.
Puchong Fuerza terlepas dua peluang terbaik terutamanya pada minit ke-21 setelah Afiq Azmi yang berjaya mengatasi pertahanan hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan hanya melakukan percubaan lambung yang melewati palang gol.
Sebelum itu, Syahirul Rodi dikecewakan pertahanan ABMK yang lebih pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya susulan percubaan yang dilakukannya sudah pun berjaya menewaskan penjaga gol.
Aksi yang pada mulanya menarik untuk ditonton bertukar menjadi hambar selepas kedua-dua pasukan gagal mengekalkan momentum aksi pantas yang dipamerkan.
Walaupun Puchong Fuerza kelihatan lebih menguasai aksi di babak kedua serta turut mempunyai beberapa serangan ke arah gawang ABMK, namun tiada percubaan yang terlalu berbahaya dapat dicipta.
Situasi bola yang sering berlegar-legar tanpa sebarang idea kreatif dan penyudah berkesan menghiasi aksi sehingga tamat perlawanan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati sekadar berkongsi satu mata.
Pemain terbaik perlawanan: Hakim Zainal (Puchong Fuerza)