Kejuaraan Futsal AFF 2018: Skuad Negara Lepasi Ranjau Berliku Untuk Layak Ke Final

Skuad Negara

Skuad negara menempah aksi final Kejuaraan Futsal AFF 2018 di Jogjakarta selepas berjaya menundukkan Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti ketika aksi sebenar perlawanan berkesudahan terikat 2-2.

Separuh masa pertama

Skuad negara yang memiliki rekod pertemuan lebih baik menentang Vietnam dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini bermula garang dengan serangan berbahaya dicipta Khairul Effendy Mohd Bahrin pada minit pertama.

Sepakan tonjol yang diledakkan kapten Malaysia itu bagaimanapun berjaya dihalang penjaga gol Vietnam, Ho Van Y.

Kem skuad negara melonjak ceria pada minit ke-5 apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi serangan balas pantas.

Pemain muda, Ahmad Harith Naim yang mengawal bola dengan baik melakukan lorongan kemas kepada Mohd Azwann Ismail yang tidak melepaskan peluang bagi menjadikan keputusan 1-0.

Selepas jaringan tersebut, Vietnam kelihatan lebih bernafsu untuk mencipta jaringan dengan serangan bertali arus ke kubu skuad negara.

Anak buah Chiew Chun Yong pula dilihat mengharapkan kepada hantaran jauh yang mudah dipatahkan pemain lawan.

Separuh masa kedua

Memasuki separuh masa kedua, pemain negara kembali menggandakan asakan dalam usaha melebarkan kedudukan dan ia membuahkan hasil pada minit ke-26 menerusi Muhammad Azri Rahman.

Azri yang mendapat hantaran jauh dari rakan sepasukan dengan tenang melakukan percubaan dari sebelah kanan pintu gol Vietnam yang melepasi celah kaki Ho Van untuk gol kedua Malaysia.

Vietnam yang terkenal dengan semangat juang tinggi para pemainnya merapatkan jurang pada minit ke-30 selepas Vu Quoc Hung yang tidak dikawal melepaskan rembatan untuk menewaskan Azrul Hadee.

Asakan berterusan oleh Vietnam selepas jaringan tersebut sememangnya membuatkan skuad negara berada dalam kegusaran, namun ketumpulan penyudah jelas menyelamatkan keadaan.

Pengendali Vietnam, Miguel Rodrigo mengubah taktikal dengan permainan ‘powerplay’ ketika perlawanan hanya berbaki enam minit sahaja lagi bagi mendapatkan jaringan penyamaan.

Ketika skuad negara semakin menghampiri aksi final dengan lebih awal, Nguyen Thanh Tin menghampakan Khairul Effendy dan rakan sepasukan hasil jaringan ketika perlawanan hanya berbaki 20 saat sahaja bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Masa tambahan

Seperti kebiasaan dalam sukan futsal, serangan pantas yang sentiasa dijelmakan kedua-dua pasukan mewujudkan suasana yang cukup mendebarkan.

Malaysia memiliki kelebihan seorang pemain apabila Nguyen Manh Dung diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua akibat kekasaran terhadap Harith Naim.

Kesempatan tersebut gagal digunakan pemain negara untuk menghasilkan jaringan kemenangan dan sepakan penalti menjadi penentu pasukan yang bakal ke perlawanan akhir.

Sepakan penalti

Situasi genting berterusan sehingga ke penentuan sepakan penalti dan akhirnya membuahkan kejayaan buat skuad negara setelah Ngo Ngoc Son dan Vu Duc Tung gagal menyempurnakan sepakan.

Abu Haniffa Hassan yang mengambil sepakan keenam dengan tenang menyudahkan peluang untuk membawa skuad negara ke perlawanan akhir bagi bertemu Thailand pada Ahad ini.

Awalludin Mat Nawi, Ahmad Harith Naim, Yazid Kamaruzuan dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir turut menyempurnakan sepakan, hanya rembatan Shamar Fadzil berjaya dinafikan penjaga gol Vietnam.

Rumusan

Kekentalan penjaga gol utama negara, Azrul Hadee Mohd Taufiq menafikan ‘hujan’ serangan berbahaya dicipta para pemain Vietnam termasuk sepakan penalti ‘second spot’ pada lewat babak pertama ternyata merupakan antara watak penting buat kejayaan skuad negara.

Semangat juang para pemain juga wajar dipuji dan diharapkan mereka dapat memperbaiki aksi dengan lebih tersusun dan kemas pada aksi final nanti.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN