Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: ‘Early Pressure’ Oleh Kemboja Memakan Diri, Malaysia Selesaikan Misi Pertama

Malaysia melepasi cabaran Kemboja dalam perlawanan pembukaan Piala AFF 2018 dengan gol tunggal oleh Norshahrul Idlan Talaha. Berikut adalah pemerhatian kami secara taktikal dan teknikal.

Permulaan

Kemboja tampil dengan formasi 4-3-3 dan bertahan dengan 4-1-4-1. Manakala pasukan Malaysia bermain dengan sistem berasaskan formasi 4-4-1-1 dan cuba bertahan dengan 4-4-2 ataupun 4-5-1.

Tekanan awal Kemboja

Kemboja memulakan perlawanan dengan tekanan awal (early pressure). Mereka memberikan desakan yang tinggi dengan intensiti yang tinggi kepada pasukan Malaysia. Cara mereka memulakan perlawanan membuatkan Malaysia – yang masih mencari rentak – sukar dan banyak kali dalam situasi panik – Kemboja memiliki 2 peluang keemasan dalam masa 5 minit pertama perlawanan.

Malaysia bergelut untuk mencari rentak kerana keadaan padang sintetik yang menyukarkan pergerakan bola dan para pemain Malaysia mengambil masa untuk mendapatkan rentak mereka. Pada awalnya, Kemboja banyak menekan garisan tinggi pertahanan Malaysia.

Malaysia hanya mendapat 1 peluang gol pada awal perlawanan – menerusi hantaran oleh Syahmi Safari kepada Zaquan Adha yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan lawan. Syahmi Safari menjadi sumber utama hantaran lintang Malaysia pada fasa pasukan Harimau Malaya mencari rentak – beliau mencipta 2 peluang gol dalam 22 minit pertama.

Namun selepas minit ke-20, pasukan Kemboja mulai merasai kesan daripada pendekatan tesebut. Ditambah pula mereka gagal menjaringkan gol pada fasa tersebut.

Mereka mulai bermain dalam tempo yang sederhana – sehinggalah ke minit-40 – di mana mereka cuba menggunakan ultra offensive sekali lagi.

Pada minit terakhir perlawanan Kemboja cuba mendapatkan gol dengan sistem yang ultra offensive. Sistem ini lebih kepada menekan lawan dengan kelebihan numerical namun perlaksanaannya tidak begitu sistematik.

Malaysia tidak dapat menyerang balas dalam keadaan ini. Sayang sekali bukan. Namun Malaysia juga berjaya untuk mengelak daripada dibolosi. Bak kata orang:”Jika kamu tidak mampu menjaringkan gol – jangan bolos.”

Perubahan taktikal Tan Cheng Hoe membuahkan hasil

Pada awalnya Malaysia bergelut untuk membina serangan daripada bawah. Ini kerana tekanan oleh pasukan Kemboja. Ditambah pula – Malaysia gagal mendapat cengkaman di bahagian tengah.

Sebelum minit ke-20 – Tan Cheng Hoe menukarkan Safawi Rasid ke sebelah kanan. Ini selepas pemain Paling Bernilai ABK18 ini tidak terlibat aktif dalam permainan. Kesannya amat positif. Ini kerana Safawi memang pemain yang lebih gemar dengan posisi inverted winger.

Safawi ternyata lebih baik penglibatannya dalam perlawanan. Beliau terus menghasilkan 1 percubaan yang terkena tiang dalam situasi beliau pintas ke dalam (cut inside) dan melakukan lencongan.

2 minit selepas itu beliau melakukan hantaran ke satu ruang РZaquan Adha menyerang ruang tersebut  dan menghantar bola kepada Norshahrul Рterus disempurnakan oleh penyerang pasukan Pahang itu.

Pada minit ke-35 – Tan Cheng Hoe menukar sekali lagi pemain sayap beliau dengan Sumareh kembali ke kanan dan Safawi Rasid ke kiri. Sekali lagi impak Safawi menurun dalam perlawanan ini. Mungkin Tan Cheng Hoe harus memikirkan sistem rotasi pemain sayap yang kerap di dalam padang selepas ini.

Pada 5 minit terakhir separuh masa kedua Kemboja menambah jumlah pemain untuk menyerang. Pada fasa ini mereka seakan-akan mendedahkan Malaysia dengan bahaya. Namun mereka kerapkali hilang bola pada saat penting. Malaysia pula tidak dapat mengambil kesempatan untuk menyerang balas Kemboja.

Pertarungan separuh masa kedua

Pada separuh masa kedua – Malaysia cuba untuk tidak melakukan kesilapan bertahan. Kemboja cuba untuk mengenakan tekanan yang sama pada separuh masa kedua -walaupun ianya tak cukup intensif seperti awal separuh masa pertama – ianya tetap cukup untuk mendesak pemain-pemain Malaysia panik dan melakukan kesilapan.

Walaubagaimanapun, Kemboja tetap mendedahkan pertahanan Malaysia dengan bahaya. Beberapa situasi di mana garisan pertahanan tinggi Malaysia  berjaya dieksploitasi. Cuma masalah utama Kemboja sepanjang perlawanan ini adalah Рketidakmampuan untuk mencipta gol. Kualiti hantaran akhir mereka sangat mengecewakan.

Beberapa hantaran lintang mereka tersasar sedangkan barisan pertahanan Malaysia sudah terpecah.

Tan Cheng Hoe tidak melakukan perubahan taktikal – beliau selesa dengan perubahan pemain yang segar untuk dimasukkan menggantikan pemain yang ada di dalam padang. Safawi tidak memberikan impak pada separuh masa kedua.

Malaysia memiliki beberapa peluang terbaik ketika melakukan ‘break away’ ataupun serangan balas. 1 kesilapan penjaga gol Kemboja juga hampir dihukum Safawi Rasid. Manakala Sumareh hampir menjaringkan gol ke-2 pada lewat perlawanan.

Rumusan

Tugas disempurnakan dengan sebaik mungkin oleh pasukan Malaysia dalam kondisi padang sintentik yang jelas tidak diurus dengan baik membuatkan bola melantun dalam keadaan tidak seperti biasa.

Kemboja membayar harga yang tinggi untuk memilih bermula dengan sistem ‘early pressure’ tetapi tidak memiliki stamina yang cukup banyak untuk menampung pendekatan tesebut. Mereka lebih kepada pasukan yang menggunakan tenaga berbanding dengan sistem permainan yang sistematik.

Seterusnya, Tan Cheng Hoe harus menggariskan beberapa isu untuk diperbaiki pada perlawanan kedua. Pertamanya adalah variasi hantaran oleh pemain pivot beliau. Ianya penting untuk menghubungkan garisan belakang dengan garisan hadapan.

Seterusnya isu penglibatan Safawi Rasid dalam posisi sebagai pemain sayap kiri. Mungkin beliau akan cuba memberikan panduan taktikal yang lebih jelas kepada pemain tersebut yang sudah stabil sebagai pemain sayap kanan songsang (inverted right wing).

Kami faham, Tan Cheng Hoe cuba mendapatkan yang terbaik daripada Mohamadou Sumareh. Jadi, mungkin Safawi Rasid perlu berusaha lebih keras untuk lebih efektif sebagai pemain sayap kiri.

Mungkin Tan Cheng Hoe akan mempertimbangkan Safawi Rasid sebagai pemain dengan peranan bebas di belakang penyerang? Ataupun melakukan rotasi pemain sayap dengan lebih kerap.

Selain itu, isu ketumpulan di barisan serangan juga harus diakui dalam perlawanan ini. Malaysia ada peluang yang cukup untuk membunuh perlawanan namun gagal melakukannya. Kemboja juga memiliki peluang yang cukup untuk mengubah keputusan perlawanan – namun begitu – mereka turut gagal melakukannya.

Apapun, tahniah kepada Harimau Malaya di atas kemenangan pertama dalam perlawanan pertama.

Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA

Mohamadou Sumareh (Malaysia)

Beliau antara yang mencetuskan gerakan untuk gol pembukan. Sumareh juga menjadi pemain yang berjaya melakukan beberapa siri gerakan fast break. Sayang sekali beliau gagal membuka akaun gol kompetitif pertamanya apabila percubaan beliau terkena tiang.

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!