Semasa perlawanan akhir UEFA Champions League 2014 antara Real Madrid dan Atletico Madrid, gol Sergio Ramos pada minit-minit terakhir perlawanan memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Ketika itu, pemain-pemain Atletico sudah pun nampak keletihan. Seawal minit 9′, Diego Costa sudah terpaksa dikeluarkan kerana masalah kecederaan.
Ditambah pula dengan taktikal Diego Simeone yang menuntut setiap pemain Atletico untuk berlari tanpa henti untuk melakukan pressing, pemain Atletico yang letih perlu bertahan selama 30 minit lagi.
Kredit kepada Real. Mereka memanfaatkan keletihan pemain Atletico untuk menjaring 3 gol pada masa tambahan dan akhirnya menjadi juara.
Menonton perlawanan tersebut sebagai penyokong neutral, kami tertanya-tanya: apa yang akan terjadi sekiranya peraturan bola sepak membenarkan 4 pemain gantian dimasukkan?
Mungkin dengan sepasang kaki yang segar, Atletico mampu bertahan 30 minit lagi. Mungkin tidak.
FIFA bereksperimen
Persoalan kami akan terjawab pada Sukan Olimpik 2016 nanti apabila FIFA mengumumkan akan bereksperimen dengan membenarkan 4 pemain gantian dimasukkan sekiranya perlawanan diheret ke masa tambahan.
Peraturan baru ini juga bakal diuji dalam kejohanan FIFA Club World Cup dan Piala Dunia Wanita Bawah-20 tahun ini.
Ketika ini hanya 3 pemain gantian dibenarkan bermain dalam satu perlawanan. Walaupun perlawanan berlanjutan selama 120 minit.
International Football Association Board (IFAB) semalam meluluskan eksperimen itu dengan menulis:
“Jemaah eksekutif FIFA bersetuju eksperimen 4 pemian gantian akan dilaksanakan di acara bola sepak di Sukan Olimpik 2016 di Brazil, Piala Dunia Wanita Bawah-20 di Papua New Guinea dan Fifa Club World Cup di Jepun.”
Experiment to allow a 4th substitute if a game goes to extra time to feature at Rio Olympic football tournaments this summer, say Fifa.
— Richard Conway (@richard_conway) March 18, 2016
Reaksi orang ramai
Rata-rata peminat bola sepak memberi respons positif dan berminat untuk mengetahui hasil eksperimen tersebut.
Mereka memberi contoh perlawanan akhir FA Cup 2006 antara Liverpool dan West Ham dan perlawanan akhir UEFA Champions League 2014 antara Real Madrid dan Atletico Madrid sebagai contoh mengapa idea 4 pemain gantian ini perlu dicuba.
Ini kerana dalam dua perlawanan ini, tempo perlawanan sering terganggu dek kekejangan otot yang dialami pemain selepas 90 minit perlawanan berintensiti tinggi.
Malah ada sesetengah peminat bola sepak yang masih ingat bagaimana Steven Taylor terpaksa mengharungi penentuan sepakan penalti dalam keadaan terhincut-hincut selepas pasukan England Bawah-21 terikat 1-1 dengan Belanda Bawah-21 dalam kejohanan EURO Bawah-21 pada 2007.
Dengan peraturan 4 pemain gantian, mungkin Taylor dapat digantikan dengan pemain lain yang tidak cedera.
Apapun reaksi orang ramai, kita akan dapat melihat sendiri kesan perlaksanaan peraturan baru ini seawal-awalnya semasa Sukan Olimpik 2016 nanti.
Baca juga: Ofsaid: Penerangan Ringkas Peraturan Paling Mengelirukan Dalam Bola Sepak