Nasib serupa dialami dua musuh tradisi dalam saingan La Liga apabila Real Madrid dan Barcelona tunduk kepada lawan masing-masing awal pagi tadi.
Real Madrid kecundang 3-0 bertemu Sevilla di Ramon Sanchez Pizjuan manakala juara bertahan La Liga itu dikejutkan 2-1 menentang pasukan di kelompok bawahan, Leganes juga di gelanggang lawan.
Kekalahan itu juga mengakibatkan rekod tanpa kalah buat kedua-dua pasukan dalam saingan liga pada musim ini lebur.
Sevilla (3) Real Madrid (0)
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sevilla yang dibimbing Pablo Machin begitu unggul selepas memperoleh tiga jaringan berharga tersebut pada separuh masa pertama.
Pemain yang dipinjamkan dari AC Milan, Andre Silva berjaya meledakkan dua jaringan pada minit ke-17 dan 21.
Wissam Ben Yedder kemudiannya menambah jaringan ketiga pada minit ke-39 untuk menutup aksi separuh masa pertama dengan kedudukan 3-0.
Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan bagi menghadiahkan tiga mata penuh buat Sevilla sekaligus kekalahan pertama untuk Los Blancos hanya selepas melalui enam perlawanan La Liga musim ini.
Leganes (2) Barcelona (1)
Sementara itu di Estadio Municipal de Butarque, Phillipe Coutinho membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 dengan bergaya selepas rembatan voli dilakukannya terus menewaskan penjaga gol Leganes, Ivan Cuellar.
Penguasaan Barcelona berterusan selepas percubaan dari Lionel Messi terkena bucu tiang gol untuk menafikan jaringan kedua buat The Blaugrana.
Babak kedua menjadi titik tolak kebangkitan tuan rumah dengan dua jaringan pantas yang terhasil nyata mengejutkan skuad bimbingan Ernesto Valverde itu.
Nabil El Zhar yang menerima hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Barcelona pada minit ke-52 tidak melepaskan peluang bagi menanduk masuk bola untuk kembali menyamakan kedudukan.
Kegembiraan penyokong Leganes berterusan apabila berpunca dari satu serangan balas pantas yang cuba dikeluarkan Gerard Pique seminit selepas jaringan penyamaan dihasilkan, terus ke kaki Oscar Rodriguez yang tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut,
Dua jaringan pantas itu sudah cukup buat Leganes untuk meleburkan rekod tanpa kalah Barcelona.
Kedudukan La Liga
Dengan kekalahan yang dialami dua seteru utama ini menyaksikan Barcelona dan Real Madrid berkongsi 13 mata dan skuad yang diketuai Lionel Messi itu hanya berkelebihan perbezaan jaringan.
Atletico Madrid di tempat ketiga dengan 11 mata manakala Sevilla, Alaves dan Espanyol terikat dengan 10 mata.
Bagaimanapun, perjalanan liga masih jauh apabila baru sahaja memasuki enam perlawanan setakat ini.