Tatkala 6 pasukan sudah pun mengesahkan tiket beraksi di peringkat suku akhir dalam saingan unifi Piala Malaysia, 2 lagi slot menjadi rebut diantara Kedah, MIFA, JDT dan Kelantan.
Pertemuan di antara MIFA menentang juara Liga Super 2018, JDT di Stadium Shah Alam pada 16 September ini akan mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air kerana perlawanan dijangka akan berlangsung dengan sengit.
Buat masa ini, JDT amat memerlukan kemenangan bagi mengesahkan tiket ke suku akhir tetapi anak buah K Devan sedia mencipta kejutan dan enggan membiarkan impian mereka lebur.
“Kita sedar kedudukan MIFA agak mencabar untuk layak ke suku akhir selepas kita sekadar mengutip satu mata ke atas Kelantan dan tidak dinafikan kita akan berdepan tugas berat dalam misi merealisasikan sasaran layak ke suku akhir.
“Kita akan bertemu JDT pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C di Shah Alam, walaupun kita hanya memerlukan keputusan seri untuk layak tetapi ia bukan suatu tugas mudah kerana lawan adalah pasukan handalan.
“Namun, saya yakin peluang masih ada buat MIFA dan kita akan melakukan persiapan yang lebih rapi menjelang perlawanan terakhir itu nanti untuk memastikan pasukan dapat membuat persembahan lebih baik dan mencapai kemenangan,” katanya pengurus MIFA, K. Rajendran kepada Berita Harian.
MIFA kini mengungguli carta Kumpulan C dengan kutipan lapan mata berkongsi mata dengan Kedah, manakala JDT dengan enam mata di tangga ketiga.
Kehadiran semula pemain utama mereka, Kpah Sherman dan L` Imam Seydi dalam kesebelasan utama selepas mereka tidak beraksi ketika menentang Kelantan akan memperkuatkan lagi jentera serangan mereka.
“Memang ada perbezaan apabila kedua-dua pemain utama itu tidak beraksi. Kami akan buat yang terbaik apabila berdepan JDT nanti dan saya mengharapkan pemain kekal fokus untuk memastikan impian layak ke suku akhir dapat direalisasikan,” katanya.
Tempoh rehat dua minggu ini dimanfaatkan sepenuhnya apabila mengaturkan perlawanan persahabatan dengan kelab dari India, Chennaiyin FC dimana mereka seri 1-1.