Penantian lama buat tiga kelab iaitu Ajax Amsterdam (Belanda), AEK Athens (Greece) dan Young Boys (Switzerland) berbaloi apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19.
Ajax yang dibimbing Erik ten Hag sekadar seri tanpa jaringan di Ukraine ketika bertemu Dynamo Kiev.
Bagaimanapun, kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama nyata sudah cukup untuk memberikan kelebihan buat Ajax yang kali terakhir beraksi dalam saingan ini pada musim 2014/15.
Nasib yang serupa dinikmati AEK Athens apabila mereka akan kembali bersaing dalam saingan liga paling berprestij buat kelab Eropah itu setelah menyepi selama 12 tahun.
Kejayaan itu menjelma selepas berjaya menewaskan kelab dari Hungary, MOL Vidi dengan kelebihan agregit 3-2. Aksi kedua yang berlangsung di Athens itu berkesudahan dengan terikat 1-1.
Petros Mantalos meletakkan AEK Athens di hadapan pada minit ke-48 menerusi sepakan penalti. Loic Nego kemudiannya kembali menyamakan kedudukan berselang sembilan minit kemudian.
Jaringan penyamaan itu bagaimanapun masih belum cukup bagi menghalang skuad bimbingan Marinos Ouzounidis untuk mara ke saingan utama.
Sementara itu di Stadion Maksimir, Zagreb pula menyaksikan penantian 32 tahun Young Boys akhirnya dinoktahkan dengan kejayaan manis.
Penyerang berpengalaman, Guillaume Hoarau muncul wira buat Young Boys apabila dua jaringannya dalam masa tiga minit berjaya memadamkan kelebihan jaringan pembukaan tuan rumah seawal minit ke-7.
Perlawanan tersebut tamat dengan keputusan aggregit 3-2 memihak Young Boys selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Stade de Suisse.
Awal pagi ini bakal menentukan nasib tiga lagi pasukan yang akan ke saingan utama Liga Juara-Juara Eropah.
PAOK Thessaloniki FC akan menentang Benfica, PSV Eindhoven bakal berdepan BATE Borisov, Salzburg pula akan melayani kunjungan FK Crvena Zvezda.
Foto: AFC Ajax