Sering kali kita mendengar akan perdebatan melibatkan liga manakah yang lebih hebat di dunia ini?
Ada yang mengatakan Premier League, ada yang turut mengatakan La Liga lebih hebat.
Malah, tidak kurang juga ada yang berpendapat yang Bundesliga lebih hebat daripada semua.
Namun bagi pemain Bayern Munich iaitu Joshua Kimmich, beliau berpendapat Premier League jauh lebih kompetitif berbanding Bundesliga.
Menurut laman ESPN, beliau berkata demikian kerana dirinya melihat pasukan utama lebih banyak berada di England berbanding di Jerman.
Hal ini menyebabkan lebih banyak pasukan yang mahu pergi bermain di England berbanding di Jerman.
“Jika nak dibandingkan antara Bundesliga dan juga Premier League, di England lebih banyak pasukan yang besar.”
“Dalam masa yang sama, pasukan Premier League turut menawarkan gaji besar dan kerana itu ramai pemain beraksi di sana.”
Menurut Kimmich lagi, Bundesliga seolah-olah liga yang kurang dramanya kerana para peminat seakan sudah tahu siapa yang akan muncul juara.
Berbanding dengan Premier League, liga Inggeris itu mempunyai saingan yang lebih seimbang.
“Jika di Bundesliga, penyokong seolah-olah tahu yang Bayern Munich akan menang liga ini.”
“Tetapi di Premier League, saingan untuk merebut kejuaraan itu lebih seimbang di antara para pasukan yang bertanding.”
“Memang benar, musim lalu Manchester City menjuarai liga dengan jurang lebih 20 mata namun pada musim sebelumnya itu tidak berlaku di Premier League.”